25 Parlimen di Sabah 'kerusi panas'

Alexion Mairin
Oktober 9, 2022 06:45 MYT
Datuk Azizah Mohd Dun berkata, semua parti di setiap bahagian pasti mempunyai cadangan serta permohonan namun segala keputusan akhir tetap kembali kepada pucuk pimpinan GRS. -Astro AWANI
KOTA KINABALU: Selepas UMNO dan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah turut dilihat mengintai kerusi Parlimen Sepanggar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, semua kawasan Parlimen di Sabah pastinya menjadi “kerusi panas” termasuklah Parlimen Sepanggar setiap kali tibanya musim pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua parti di setiap bahagian pasti mempunyai cadangan serta permohonan namun segala keputusan akhir tetap kembali kepada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Sudah tentu semua orang mahu, kita tidak boleh menghalang, hak mereka untuk memohon. Kita harus faham akhirnya pucuk pimpinan yang membuat keputusan iaitu pucuk pimpinan GRS di negeri Sabah, bukan sahaja di Sepanggar, di seluruh negeri Sabah, seluruh kawasan Parlimen, 25 bahagian semuanya panas.
"Semua orang mahu menawarkan diri jadi calon, kadang-kadang satu tahap itu bukan seorang sahaja malahan ada dua atau tiga orang sudah mengemukakan diri mereka untuk menjadi calon dan sibuk bekerja di sana sini.
"Tapi akhirnya siapa terpilih itu terpulang kepada pucuk pimpinan. Bagi kami GRS ini, Bersatu terutamanya, siapa sahaja yang terpilih kita akan sokong," katanya.
Azizah berkata demikian ketika ditemui media sempena Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada Bahagian Sepanggar pada Ahad.
Ditanya sama ada dirinya akan kekal bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen Beaufort, Azizah secara peribadi tidak menyatakan hasrat berkenaan.
"Itu semua adalah keputusan pucuk pimpinan, tapi dari segi mempertahankan itu tidak semestinya kita menjadi calon untuk mempertahankan, kita mempertahankan atas dasar parti.
"Apabila GRS bertanding dan sudah menetukan calonnya siapa, kita akan memberikan sokongan untuk memastikan kejayaan calon kita," jelasnya lagi.
#25 Parlimen Sabah #kerusi panas #azizah mohd dun #PRU15
;