1MDB: Najib mungkin tiada niat untuk berbohong - Ku Li

Mariah Ahmad
Mei 25, 2015 09:10 MYT
KU LI : Najib hanya menjelaskan kedudukan kewangan syarikat pelaburan itu adalah dalam bentuk aset, bukannya dalam bentuk tunai seperti yang diberitahu sebelum ini. - Gambar fail
Ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperbaiki maklumat baki pelaburan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menunjukkan beliau tidak ada niat untuk berbohong.
Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata Najib hanya menjelaskan kedudukan kewangan syarikat pelaburan itu adalah dalam bentuk aset, bukannya dalam bentuk tunai seperti yang diberitahu sebelum ini.
Anggota Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun tidak menyatakan pendiriannya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir sebelum ini yang mendakwa keterangan berkenaan isu 1MDB yang dipindahkan dari Cayman Islands adalah tidak benar.
“Ianya susah untuk saya katakan sama ada saya setuju ataupun tidak. Ia bergantung sama ada jawapan Perdana Menteri (Najib) mempunyai fakta yang betul atau tidak.
“Jika beliau telah membetulkan kesilapan maklumat itu yang dikatakan tidak tepat dan saya tidak rasa ia boleh dikatakan sebagai dia berbohong,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata sebagai Perdana Menteri, Najib tidak boleh melanggar peraturan Dewan Rakyat yang mana seseorang ahli Parlimen itu boleh diambil tindakan sekiranya mengelirukan Dewan.
Ku li mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada semalam yang menyifatkan segala keterangan berkenaan isu 1MDB berhubung wang berjumlah US$1.103 billion (RM3.6 billion) yang dipindahkan dari Cayman Islands adalah tidak benar.
Menerusi tulisan di blognya, chedet.cc, Mahathir berkata segala keterangan berhubung perkara tersebut sebelum ini melanggar peruntukan di bawah seksyen 218 Kanun Keseksaan.
Mahathir yang juga bekas Menteri Kewangan berkata kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun di bawah undang-undang itu.
#Ku Li #Mahathir #Najib Tun Razak #Parlimen #tengku razaleigh