19 Jun tarikh genap angkat sumpah bukan bubar DUN - Amirudin

Bernama
Jun 12, 2023 07:13 MYT
Amirudin berkata dakwaan itu tidak benar dan tarikh itu merupakan di mana lengkap selama lima tahun mengangkat sumpah sebagai menteri besar iaitu 19 Jun 2018 yang lepas. - Fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata dakwaan itu tidak benar dan tarikh itu merupakan di mana lengkap selama lima tahun mengangkat sumpah sebagai menteri besar iaitu 19 Jun 2018 yang lepas.
"Pada pertemuan akhir saya pada beberapa minggu lepas, saya ada menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan tuanku memahami dan baginda akan berikan tarikh.
"Mungkin ada beberapa urusan dan semakan yang ingin dilakukan oleh tuanku untuk umumkan tarikh atau terima cadangan saya," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Trek Rides Gombak di sini hari ini.
Pada 5 Jun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Azmin Ali di program ceramah PN di Tanjong Karang, Selangor mendakwa, DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 71 hentian lokasi akan menjadi pengambilan dan penghantaran Demand-Responsive Transit (DRT) atau perkhidmatan Trek Rides yang meliputi kawasan kediaman, komersial dan perkhidmatan awam utama sekitar Selayang dan Gombak.
"Perkara ini seperti yang telah diumumkan pada Belanjawan iaitu dana perkhidmatan microvan atau microbas daripada kawasan sempit ke laluan utama bas SmartSelangor atau ke laluan utama ke keretapi dan pengangkutan awam.
"Oleh kerana perkara ini tidak berlaku sebelum ini, jadi kita nak keluarkan (perkhidmatan), dengan harapan orang ramai tidak lagi menggunakan kenderaan peribadi dengan lebih banyak, kerana ada pengangkutan awam yang lebih efisien," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #bubar DUN Selangor #PRN #pilihan raya