18 muka baharu, saiz menteri jadi tumpuan di DUN Sarawak

Rudi Affendi Khalik
Februari 13, 2022 14:38 MYT
Yang pasti, pentas demokrasi Sarawak akan bermula esok, dan ia langkah pertama ke arah melengkapkan pengabsahan kerajaan negeri yang baharu, dalam mencapai agenda berganda mereka sehingga 2026.
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan bersidang pada 14 hingga 16 Februari ini, tanpa istiadat perasmian.
Persidangan ini merupakan yang pertama selepas Pilihan Raya Negeri 2021 berlangsung pada 18 Disember lalu.
Dalam DUN kali ini, seramai 18 wakil rakyat akan membuat penampilan pertama di dewan tersebut.
Antara muka baharu termasuklah Duta Khas Kerajaan Malaysia ke China dan Korea, Datuk Seri Tiong King Sing yang kini ADUN Dudong dan Ahli Lembaga Pengarah Petronas, Datuk Ibrahim Baki yang kini ADUN Satok.
Beberapa Setiausaha Politik turut naik pangkat seperti Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Hamzah Ibrahim (DUN N17 Stakan; Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna, Lidam Assan (DUN N62 Katibas).
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak yang naik pangkat ialah ADUN N21 Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; ADUN N54 Pelawan, Michael Tiang dan ADUN N64 Baleh, Nicholas Kudi Jantai.
Kombinasi 18 muka baharu ini menyaksikan beberapa daripadanya merupakan pengamal perundangan, aktivis dan bekas pegawai kerajaan.
Berkurangnya blok pembangkang kepada enam orang, akan menyaksikan suasana, landskap dan iklim persidangan pasti berbeza.
Peranan ketua pembangkang kini berpindah kepada ADUN Bawang Assan N53, Datuk Seri Wong Soon Koh apabila memilih empat wakil rakyat. Beliau menggantikan bekas musuhnya, ADUN Padungan, yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang kini hanya ada dua wakil.
Di peringkat penyokong kerajaan pula, sumber memberitahu, tanggungjawab itu kini digalas ADUN N6 Tupong, Fazruddin Abdul Rahman. Fazruddin kini juga berstatus Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak.
Biarpun tanpa soalan berbangkit termasuk penggulungan menteri, ia yang dilangsungkan bagi memenuhi Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menuntut satu sidang DUN perlu diadakan dalam tempoh 120 hari selepas dibubarkan.
Antara agenda penting persidangan kali juga ialah pembentangan pindaan kepada perlembagaan negeri, berkait penambahan jumlah menteri.
Perkara ini akan dibentangkan Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ia sebenarnya perkara penting, kerana sejak penubuhan dewan tersebut, jumlah ahli Majlis Negeri yang kini dikenali sebagai ADUN telah jauh berubah.
Bermula 24 orang secara lantikan pada 1959, diikuti 36 orang pada 1963 dan 48 orang pada 1970 hingga 1987.
Jumlah ADUN kemudian bertambah kepada 56 orang pada 1991 serta 62 orang pada 1996, sebelum menokok kepada 71 orang pada 2006 sebelum persempadanan semula pada 2016, menambah 11 kerusi menjadikan jumlah terkini 82 orang.
Justeru, mengekalkan pelantikan 10 menteri, tidak termasuk Ketua Menteri (selepas kali terakhir pindaan pada 1995) tidak lagi relevan dalam konteks hari ini.
Oleh itu, Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak ini perlu dipinda bagi membenarkan jumlah dan saiz menteri ditambah.
Perkara ini perlu memandangkan peranan membangunkan negeri ini semakin mencabar.
Ia bagi memberi ruang kepada setiap menteri fokus kepada portfolio mereka, dan tidak lagi wajar memegang portfolio secara berganda.
Yang pasti, pentas demokrasi Sarawak akan bermula esok, dan ia langkah pertama ke arah melengkapkan pengabsahan kerajaan negeri yang baharu, dalam mencapai agenda berganda mereka sehingga 2026.
#DUN Sarawak #Persidangan DUN Sarawak #menteri baharu #mesyuarat pertama DUN Sarawak