18,060 petugas SPR siap sedia kelancaran pengundian di P. Pinang
Umavathi Ramayah
November 18, 2022 15:29 MYT
November 18, 2022 15:29 MYT
GEORGE TOWN: Seramai 18,060 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan untuk memastikan kelancaran proses pengundian di Pulau Pinang pada Sabtu.
Menurut jurucakap SPR, mereka akan bersama-sama pegawai Kementerian Kesihatan berada di 331 pusat pengundian seawal 6 pagi.
"Pusat pengundian akan dibuka mulai pukul 8 pagi sehingga 6 petang. Kerja-kerja penyediaan proses pengundian pada ketika ini berada di fasa terakhir," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Tambah jurucakap itu lagi, proses pengiraan undi akan dimulakan sejurus sahaja tamat waktu pengundian.
Sebanyak 58 individu bakal merebut 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang.
Pada PRU ini, sebanyak 1.22 juta pengundi mendaftar dengan 11,065 pengundi daripadanya adalah pengundi awal dan 137 adalah pengundi tidak hadir luar negara.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang kekal bertanding di kerusi Parlimen Bagan bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan calon BN daripada MCA, Tan Chuan Hong, Oh Teik Choon (PN) dan Mohammed Hafiz Mohamed Abu Bakar (GTA-Pejuang).
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow 'beraksi' di kerusi Parlimen Batu Kawan yang berdepan dengan persaingan lima penjuru.