15 calon layak bertanding di Bahagian Silam

Ridzal Abdullah
April 28, 2018 19:08 MYT
Iman Ali yang mengetuai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mula menerima pendaftaran daripada para calon bermula 9.11 pagi.
Bahagian Silam (P.188) menyenaraikan 15 orang calon yang layak bertanding dalam proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali yang mengetuai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mula menerima pendaftaran daripada para calon bermula 9.11 pagi dan berakhir pada 1.45 petang.
Sebanyak 15 calon bakal bertanding empat daripada calon parti Barisan Nasional (BN), empat dari Parti Warisan Sabah, empat dari Parti Harapan Rakyat Sabah, dua dari Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan satu calon Parti Kebangsaan Sabah.
Parlimen Silam menyaksikan saingan empat penjuru terdiri daripada penyandangnya, Datuk Nasrun Mansur (BN), Datuk Mohamadin Ketapi (Warisan), Shazianti Ajak (Harapan) dan Ramli Pataruddin (Pas).
Bagi DUN Lahad Datu pula penyandangnya, Datuk Yusof Apdal (BN) ditentang oleh Dumi Pg.Masdal (Warisan) dan Wong Yu Chin (Harapan).
Manakala di DUN Tungku pula, calon muka baharu BN , Mizma Appehdullah berdepan persaingan empat penjuru dengan Assafal (Warisan), Bulangan Panasi (Harapan) dan Abd.Rahman Taggoh (Parti Kebangsaan Sabah).
Sementara itu, DUN Kunak pula, penyandang Datuk Nilwan Kabang daripada BN berdepan pencabar, Kasman Karate (Pas), Norazlina Arif (Warisan) dan Sahing Taking (Harapan).
#Barisan Nasional #kunak #Lahad Datu #Malaysia Memilih #PRU14 #SainganSengit #Silam
;