15,000 ahli BN Silam masuk Warisan
Ridzal Abdullah
Disember 16, 2018 05:00 MYT
Disember 16, 2018 05:00 MYT
Kira-kira 15,000 anggota BN Bahagian Silam di Lahad Datu, menyerahkan borang pendaftaran menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Ahad.
Penyerahan borang kepada Setiausaha Agung Warisan, Loretto S Padua Jr itu diketuai mantan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Silam, Mohd Yusof Apdal dengan disaksikan Ketua Wira Warisan Azis Jamman.
Mohd Yusof berkata penyertaan ke Warisan itu melibatkan anggota daripada 114 cawangan UMNO, 17 cawangan Gerakan serta anggota MCA di sini.
Dalam pada itu, Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mahu bekas anggota UMNO yang menyertai Warisan agar meninggalkan budaya ‘tidak baik’ yang diamalkan ketika bersama parti itu dahulu.
"Rakyat buat keputusan sewaktu pilihan raya lalu untuk menukar kerajaan lama kerana ada perkara dilakukan mereka tidak disenangi termasuk cara pendekatan digunakan anggota UMNO sebelum ini," katanya.
Beliau turut berharap kemasukan bekas anggota pembangkang itu akan menambah kekuatan parti khususnya di peringkat akar umbi.
"Apa yang penting pejuang asal Warisan menerima serta bekerjasama dengan anggota baharu ini, dan pejuang asal jangan risau kerana mereka akan diutamakan," katanya.
Sementara itu, Loretto mengalu-alukan bekas anggota UMNO atau parti pembangkang lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai Warisan dengan syarat mematuhi peraturan perlembagaan ditetapkan parti.
"Kita ada jumlah (yang ingin menyertai Warisan), kita akan umum dalam majlis (kemasukan beramai-ramai) selepas ini," katanya bahawa lebih banyak bekas anggota pembangkang bakal menyertai Warisan.
Loretto turut menegaskan Warisan tidak patut berasa tergugat sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertapak di Sabah, namun berpendapat biarlah Warisan sebuah parti tempatan, berkhidmat di sini, kerana faham nadi 'Sabah untuk Sabahan'.
Selain itu, Loretto berkata setiap individu mempunyai hak untuk menubuhkan parti baharu berasaskan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 termasuk oleh bekas Menteri Luar Anifah Aman.
Namun, Loretto berkata perjuangan Warisan kini lebih tertumpu dan berkesan memandangkan berada dalam blok kerajaan.
"(Berbanding) dulu, mereka (termasuk Anifah) tidak tahu apa mereka perjuangkan sewaktu menjadi kerajaan," katanya.
Ditanya sama ada Warisan boleh bekerjasama dengan parti baharu mungkin ditubuhkan Anifah atau mengajak bekas Menteri Luar itu menyertai Warisan, Loretto berkata perkara itu biar diputuskan presiden parti merangkap Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal
#Barisan Nasional
#Malaysia
#MCA
#pembangkang
#Perjanjian Malaysia 1963
#PPBM
#Shafie Apdal
#UMNO
#Warisan