140 bahagian UMNO tolak Bersatu gambaran pendirian akar umbi - Isham Jalil

Astro Awani
Januari 4, 2021 18:29 MYT
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, ahli-ahli UMNO di semua peringkat telah lama sedar akan niat Bersatu untuk meruntuhkan parti itu.
KUALA LUMPUR: Keputusan lebih 140 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jelas menggambarkan pendirian akar umbi UMNO.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, ahli-ahli UMNO di semua peringkat telah lama sedar akan niat Bersatu untuk meruntuhkan parti itu.
"Mereka tidak mahu bekerjasama dengan pengkhianat dan mereka tidak rela dikhianati lagi nanti. Kerusi adalah kuasa dan kuasa itu perlu untuk menentukan dasar untuk rakyat," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
BACA: Tidak ada sebab MT UMNO tolak usul dari bahagian - Nazri Aziz
Susulan itu tegasnya, UMNO akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi semasa PRU14 serta semua kerusi-kerusi Bersatu.
"Kita tidak boleh biarkan kerusi dan kuasa diberi ke tangan pengkhianat," tegas Isham.
BACA: 'Kalau nak pecat, silakan' - Annuar Musa
BACA: UMNO mahu PRU15 disegerakan - Zahid
Dalam pada itu, Isham percaya lebih ramai pemimpin akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebelum PRU15.
"Tidak ada siapa yang akan undi pengkhianat kecuali pengkhianat sendiri. Pada PRU15 nanti rakyat akan menggelar mereka sebagai pengkhianat nasional dan jika kita beri laluan kepada Bersatu pun, mereka akan kalah kerana ditolak oleh rakyat dan PH pula yang akan menang.
"Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku. Kita akan tolak PH dan juga pengkhianat-pengkhianat ini dalam PRU-15 akan datang. Biar rakyat tentukan nasib pengkhianat-pengkhianat ini," ujarnya lagi.
Sumber Facebook isham.abdjalil
#Barisan Nasional #UMNO #PPBM #pilihan raya #rakyat #Malaysia #Isham Jalil #pilihan raya umum #Bersatu
;