'14 Ketua Bahagian UMNO Kedah bertindak ikut perlembagaan' - Ku Nan

Hafiz Marzukhi
Januari 23, 2016 09:14 MYT
KU NAN: Dalam perlembagaan parti, ada ruang untuk menyuarakan pendapat tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul.
Empat belas Ketua Bahagian UMNO Kedah tidak dikenakan tindakan kerana pandangan mereka disuarakan berasaskan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Mereka tidak mendesak supaya Ketua Perhubungan Negeri meletakkan jawatan.
"Ketidakpuasan hati mereka disuarakan dan keputusan diserahkan kepada pucuk pimpinan," kata Tengku Adnan.
Tambah beliau, tindakan mereka tidak seperti beberapa ketua cawangan yang mendesak supaya Presiden parti Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
"Dalam perlembagaan parti, ada ruang untuk menyuarakan pendapat tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul," jelas Tengku Adnan.
Beliau ditemui selepas merasmikan pelepasan Kayuhan Cinta Malaysia di Putrajaya pagi ini.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai butiran dalam mesyuarat antara Najib bersama beberapa Ketua Bahagian UMNO Kedah pada Jumaat, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut.
"Saya tidak terlibat. Mana nak tahu butirannya.
"Namun, saya yakin Perdana Menteri akan meneliti apa yang telah disuarakan ketua-ketua bahagian dan keputusan akan diumumkan kelak," katanya.
BACA: UMNO Kedah umum hilang kepercayaan terhadap Mukhriz
BACA: Saya tetap setia kepada UMNO - Mukhriz
BACA: Mukhriz bertindak terhadap pihak cuba aniaya rakyat
BACA: Pemimpin UMNO Kedah enggan kongsi butiran pertemuan dengan PM
#Mukhriz Mahathir #Najib Razak #Tengku Adnan #UMNO Kedah
;