13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

Ruzaini Zulkepli, Fifi Harteeny Marzuki
Disember 12, 2018 15:29 MYT
Dari kiri, Azizah, Masidi, Hajiji, Kiandee dan Rahim bersama ADUN dan Ahli Parlimen UMNO yang mengumumkan keluar parti pada satu sidang media di Kota Kinabalu hari ini. --fotoBERNAMA
Seramai 13 ahli UMNO dan pemimpin kanan di Sabah bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas hari ini kerana tidak yakin dengan hala tuju itu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata kepimpinan UMNO Pusat tidak mempunyai arah politik yang jelas menyebabkan mereka bersepakat mengambil keputusan drastik ini.
Tambah Hajiji, keputusan sebulat suara ini juga diambil kerana kesal dengan pucuk kepimpinan UMNO Pusat yang tidak bersatu dan sering bercanggah pendapat.
"Kami tidak marah dengan UMNO, tetapi kami kecewa. Saya dan ramai rakan-rakan yang lain termasuklah rakyat Sabah banyak mendapat manfaat daripada UMNO.
"Malangnya, UMNO bukan seperti dahulu lagi. UMNO Pusat tidak mempunyai arah politik yang jelas serta pemimpin UMNO Pusat yang sering bercanggah pendapat.
"Kami juga mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli UMNO dari Bumiputera bukan Islam yang berjumlah lebih daripada 100,000.
"Justeru, kami telah membuat keputusan untuk mengambil inisiatif untuk mencatat masa depan politik kami sendiri.
"Kami akan mulakan dengan memisahkan (disassociating) diri kami dengan UMNO agar kami bebas untuk mempertimbangkan semua pilihan yang ada untuk mencorakkan masa depan kami dalam kumpulan politik baru," katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Tuaran berkata demikian pada satu sidang media berhubung situasi semasa parti itu di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), 21 ketua bahagian dan dua senator UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas berkuatkuasa hari ini.
Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).
Sementara itu, selain Hajiji, ADUN lain ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).
Dalam pada itu, Hajiji yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata kesemua pemimpin UMNO Sabah dan wakil rakyat yang meninggalkan parti hari ini memberi sokongan penuh kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, ahli UMNO yang bertindak keluar parti akan bekerja keras membantu Kerajaan Persekutuan dalam membawa lebih banyak pembangunan dan perubahan di negeri ini.
"Kami berharap semua rakyat Malaysia menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya untuk menjadikan negara ini hebat sekali.
"Seperti yang kita tahu, negara menghadapi cabaran ekonomi yang serius dan rakyat Malaysia harus bersatu untuk mengatasinya. Ini bukan masanya untuk 'bergaduh politik' yang hanya akan merumitkan usaha kerajaan," katanya.
#ADUN #ahli Parlimen #Bebas #Hajiji Mohd Noor #keluar parti #kerajaan Persekutuan #Pakatan Harapan #Sabah #UMNO #wakil rakyat Bebas
;