120 ahli Bersatu Putrajaya keluar parti, kembali sertai UMNO

Fareez Azman
Oktober 1, 2021 20:30 MYT
Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Erwan hari ini sah meninggalkan Bersatu dan kembali kepada UMNO. - Gambar/ Facebook Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR: Seramai 120 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya keluar daripada parti itu dan kembali menyertai UMNO.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Erwan Mohd Tahir, yang mengumumkan perkara itu berkata, selain beliau sendiri, antara mereka adalah kepimpinan tertinggi bahagian termasuk naib ketua dan setiausaha bahagian.
"Ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke pangkuan UMNO setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik COVID-19 yang membadai negara.
"Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan," katanya memetik laporan UMNO Online.
BACA: Bekas Ketua Bersatu Putrajaya kembali sertai UMNO, zahir sokongan kepada Ismail Sabri
Beliau berharap agar Ismail Sabri dapat menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Terdahulu Ketua UMNO Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam perkongsian di Facebooknya, mengumumkan Erwan hari ini sah meninggalkan Bersatu dan kembali kepada UMNO.
#Bersatu Putrajaya #keluar parti #UMNO #Erwan Mohd Tahir
;