12 ketua PDM DUN Paloh letak jawatan

Muhafandi Muhamad
April 24, 2018 19:25 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamad dijangka akan bertemu dengan Nozula bagi membincangkan kemelut (penurunan bendera BN dan PDM ditutup) hari ini.
Semua 12 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri Paloh meletakkan jawatan selain enggan membantu kempen pilihan raya untuk Barisan Nasional selepas bekas ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah digugurkan daripada senarai calon.
Bukan sahaja itu, beberapa kawasan di DUN Paloh juga menyaksikan rakyat melakukan protes dengan menurunkan bendera Barisan Nasional (BN).
Malah, tinjauan Astro AWANI menunjukkan sejumlah 200 penyokong Nozula berhimpun di kediaman pemimpin itu di Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan bagi menyatakan solidariti dan sokongan selepas namanya digugurkan.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dijangka akan bertemu dengan Nozula bagi membincangkan kemelut (penurunan bendera BN dan PDM ditutup) hari ini.
"Tetapi bila mereka (penyokong) dengar khabar Datuk Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamad) nak datang jumpa saya nak menyelesaikan masalah dan kemelut hari ini yang mana semua di DUN Paloh telah menurunkan bendera dan peti undi ditutup.
"Jadi, dengan perbincangan saya dengan Datuk Pa ini, mungkin dapat menyelesaikan masalah ini kerana perkara ini (penurunan bendera BN dan PDM ditutup) tidak dirancang. Bukan sahaja DUN Paloh, tetapi DUN Nenggiri, kerana mereka menghadapi masalah sama," katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Nozula merupakan ADUN paling lama berkhidmat untuk BN di Kelantan iaitu sejak tahun 1990 dan beliau satu-staunya penyandang yang digugurkan kali ini.
Tempat Nozula digantikan dengan Setiausaha Sulit Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Amran Arifin.
#DUN #Felda Chiku #Gua Musang #Kelantan #Malaysia Memilih #Nozula Mat Diah #Paloh #PDM
;