11 anggota PPBM, Pas, PKR Larut keluar parti untuk sertai UMNO

Bernama
Mac 30, 2018 06:16 MYT
Seramai 11 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR dan PAS Bahagian Larut keluar dari parti masing-masing untuk menyertai UMNO.
Seramai 11 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan PAS Bahagian Larut di sini keluar dari parti masing-masing untuk menyertai UMNO pada Jumaat.
Mereka berbuat demikian kerana hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang didakwa tidak mempedulikan anggota di kawasan itu selain perjuangan yang tidak konsisten.
"Saya lihat pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan juga tidak adil kerana yang dapat lebih kerusi adalah DAP," kata jurucakap mereka, Mohd Radzi Ramli ketika ditemui selepas program Kenduri Sekampung di Kampung Tapah, Sungai Bayor di sini.
Turut hadir Anggota Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Mohd Radzi yang juga bekas Ketua Bahagian PPBM Larut berkata mereka yang menyertai UMNO terdiri daripada tujuh anggota PPBM, tiga anggota PAS dan seorang anggota PKR.
Beliau mendakwa lebih ramai lagi anggota parti pembangkang akan keluar parti selepas ini kerana kecewa dengan pucuk kepimpinan parti masing-masing.
Sementara itu, Hamzah berkata anggota pembangkang meninggalkan parti masing-masing dan menyertai UMNO kerana mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti."Mereka keluar parti untuk bersama-sama kita untuk memperjuangkan demi bangsa, agama dan negara.
"Di Larut, mereka yang keluar pakatan pembangkang sehingga hari ini adalah lebih 300 orang," katanya.
-- Bernama
#berita politik #Hamzah Zainudin #Mohd Radzi Ramli #PAS #PKR #PPBM #PRU14 #UMNO
;