108 orang bakal sertai kabinet Prabowo, saintis antara dijangka jadi menteri?
Astro Awani
Oktober 18, 2024 11:30 MYT
Oktober 18, 2024 11:30 MYT
JAKARTA: Sekumpulan pakar dari pelbagai sektor penyelidikan dan universiti di Indonesia memberi bayangan beberapa nama berpotensi menyertai barisan kabinet Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto.
Ramalan ini terus diperkuat selepas Prabowo memanggil beberapa calon menteri, wakil menteri dan ketua anggota ke kediamannya di Jalan Kertanegara awal minggu ini serta sesi yang diadakan di Hambalang, Bogor.
Kabinet Prabowo dijangka disertai sekurang-kurangnya 108 orang, termasuk 49 nama yang dipanggil ke Pejabat Ketua Negara pada Isnin manakala 59 nama yang dipanggil Prabowo ke lokasi yang sama pada Selasa.
Para penyelidik dari Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) memaklumkan daripada 108 individu itu, majoriti anggotanya mempunyai latar belakang politik dengan peratusan sebanyak 55.6% atau 60 orang daripada 108 calon yang telah dipanggil.
Peratusan pakar teknologi pula menunjukkan hanya sebanyak 15.7 peratus atau 17 daripada 108 calon. Ia diikuti kalangan anggota tentera/ Polis Republik Indonesia (8.3 peratus), usahawan (7.4 peratus), tokoh agama (4.6 peratus), dan selebriti (2.8 peratus). Namun begitu, hanya 5.6 peratus mempunyai latar belakang dari kalangan ahli akademik.
Salah seorang yang disebut media tempatan adalah Stella Christie yang merupakan pakar akademik.
Beliau juga merupakan seorang professor dan penyelidik di Tsinghua University Beijing.
Dalam pada itu, Stella menerima Pendidikan Sarjana 1 di Harvard University, kemudian Sarjana 2 dan Sarjana 3 dari North Western University.
Apa yang menarik, Stella juga merupakan seorang saintis dalam bidang sains kognitif yang mengkaji cara berfikir.
"Jadi mengenai otak dan cara pemikiran yang melibatkan manusia, haiwan, dan kecerdasan buatan. Jadi ilmu saya adalah interdisciplinary iaitu pendekatan yang melibatkan disiplin atau bidang ilmu yang berbeza untuk menyelesaikan masalah atau memahami isu dengan lebih holistik," jelasnya.
Namun begitu, Stella tidak mengulas lebih lanjut mengenai jawatan yang akan dipegang dan memilih menyerahkan kepada Presiden Terpilih untuk menyampaikannya.
"Itu nanti Pak Prabowo," jelas Stella kepada media tempatan.
Berdasarkan laporan media tempatan, beberapa ahli politik yang lihat hadir di kediaman Prabowo antaranya Bekas Sekteriat Kabinet dari PDI Perjuangan (PDIP) Pramono Anung, Wakil Ketua Umum Parti Amanat Nasional Viva Yoga Mauladi, Anggota Parti Solidariti Indonesia (PSI) Isyana Bagoes Oka dan Golkar Christina Aryani.
Wakil Ketua Umum Parti Gelora, Fahri Hamzah, Ahli Politik Parti Demokrat Ossy Dermawan, Ahli Politik PSI Giring Ganesha, Faisol Riza, Gerindra Ariza Patria dan Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan, Muhamad Mardiono.
Sementara itu, barisan selebriti hingga atlit kebangsaan juga kelihatan di kediaman Prabowo antaranya Gus Miftah, Raffi Ahmad, Yovie Widiyanto dan atlit badminton, Gerindra Taufik Hidayat.