10 Ogos bukan hari penentu bagi Khalid, tetapi hari penentu Pakatan Rakyat
Media Statement
Ogos 7, 2014 15:18 MYT
Ogos 7, 2014 15:18 MYT
Ahad 10 Ogos 2014 bukanlah sangat hari penentu bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, bahkan sebenarnya hari penentuan bagi Pakatan Rakyat yang berusia enam tahun sama ada ia mampu untuk terus menjadi simbol aspirasi dan harapan rakyat Malaysia ke arah perubahan politik demi membawa politik baru dengan keadilan, kebebasan, akauntabiliti, ketelusan, urus tadbir yang baik, perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia menggantikan hegemoni, korupsi dan ketidakadilan yang diamalkan Umno.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya pada 23 Julai 2014, dengan melibatkan pimpinan daripada ketiga-tiga parti komponen PAS, PKR dan DAP, telah memutuskan dua perkara:
i) Menukar-ganti Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim; dan
ii) PAS dan DAP akan mengadakan mesyuarat di peringkat jawatankuasa pusat masing-masing untuk memutuskan mengenai pencalonan PKR untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Perkembangan sepanjang dua minggu lalu mengenai isu Menteri Besar Selangor selepas mesyuarat Majlis Pimpinan pada 23 Julai telah melemahkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan tujuan, perpaduan dan masa depan Pakatan Rakyat sebagai alternatif yang memberi saingan terhadap Umno-Barisan Nasional demi membawa perubahan politik seperti yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, seperti yang ditunjukkan melalui keputusan Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei tahun lalu, dengan lebih 52 peratus undi popular memihak kepada Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat berdepan krisis terburuk sejak ia dibentuk selepas PRU ke-12 pada April 2008.
Mampukah Pakatan Rakyat bertahan di saat krisis keyakinan yang paling dahsyat?
Ini bergantung kepada komitmen semua pimpinan Pakatan Rakyat terhadap aspirasi asal pembentukan Pakatan Rakyat dan Dasar Bersama yang telah dipersetujui oleh parti komponen Pakatan Rakyat dalam tempoh enam tahun lalu, terutamanya dalam kenyataan pertama Pakatan Rakyat pada 1 April 2008 yang berjanji untuk menjunjung tinggi hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira agama atau keturunan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Sekiranya semua pimpinan Pakatan Rakyat, sama ada DAP, PAS, atau PKR terus berpandukan kepada prinsip-prinsip dan kerangka Dasar Bersama demi memberikan harapan kepada rakyat Malaysia terhadap perubahan yang telah lama diperlukan dalam lanskap politik negara supaya Malaysia boleh mencapai perpaduan, keadilan, demokrasi, berdaya saing dan makmur dan menjadi contoh sebuah negara berjaya yang berbilang kaum dan agama kepada seluruh dunia, maka Pakatan Rakyat mesti terus berjuang dengan segala kekuatan demi mencapai tujuannya mengambil tempat perikatan Umno/BN dalam PRU ke-14 akan datang.
Keadaan sebaliknya adalah terlalu dahsyat untuk difikirkan kerana Pakatan Rakyat pastikan akan terasing ke sudut nota kaki sejarah Malaysia.
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.