10 nasihat Mufti Wilayah untuk hadapi PRU14

Sinar Harian
April 2, 2018 11:45 MYT
Kata Zulkifli nasihat ini adalah tulus daripada hati kepada seluruh pemimpin politik tanpa mengira warna dan logo dan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa. - Gambar fail
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi 10 nasihat kepada pemimpin politik dan masyarakat dalam menghadapi PRU14.
Beliau berkata, nasihat ini adalah tulus daripada hati kepada seluruh pemimpin politik tanpa mengira warna dan logo dan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
"Kami menyusun sepuluh jari memohon maaf jika bahasa yang dikemukakan terkasar dan tidak sesuai. Semoga Malaysia akan terus aman, damai dan sejahtera di bawah lembayung rahmat-Nya atas kepimpinan negara yang diredhai-NYA,” katanya dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, 10 nasihat itu termasuk bersatu dengan berpegang kepada agama ALLAH, tidak bertelagah sesama sendiri, menjunjung akhlak dan adab, serta berkata benar dan baik.
Menurutnya, semua pihak harus menjauhi perbuatan melabel-labelkan dan memberi gelaran tidak baik terhadap pihak lain.
“Apa diucapkan seseorang pemimpin, itulah ikutan penyokong masing-masing. Jika baik ucapannya, maka baiklah yang dituturkan penyokong. Jika sebaliknya, itulah ‘modal’ bagi penyokong melemparkan kata-kata nista kepada lawan,” katanya.
Selain itu, katanya, mereka perlu mengelakkan daripada menghina, mencaci dan melaknat sesama sendiri.
“Ingatlah, boleh jadi orang dihina itu jauh lebih mulia dan baik daripada kita,” katanya.
Beliau berkata, jika perlu berdebat, perlu lakukan dengan sebaik-baiknya.
"Dalam perdebatan, nilai intelektual, ketepatan maklumat dan hujah benar lagi sahih dengan dalil naqli (nas al-Quran dan hadis) serta mantiq aqli (logik akal) perlu dijunjung,” katanya.
#Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #Malaysia #Malaysia Memilih #Mufti Wilayah Persekutuan #politik #PRU14
;