10 Exco Melaka selesai angkat sumpah
Shuhada Abdul Kadir
November 26, 2021 18:29 MYT
November 26, 2021 18:29 MYT
AYER KEROH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ab Rauf Yusoh mendahului senarai pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang diumumkan memegang portfolio Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Majlis angkat sumpah yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau kemudian disusuli ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang kekal memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, serta ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir).
Selain itu, ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani); ADUN Gadek VP Shanmugam (Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan).
ADUN Pengkalan Batu yang juga wakil rakyat tertua, Datuk Kalsom Nordin turut mengangkat sumpah portfolio Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, manakala wakil rakyat muda, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga ADUN Merlimau (Kesihatan dan Antidadah).
Mereka diikuti ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang memegang portfolio Exco Pendidikan dan Teknologi, serta ADUN Machap Jaya daripada MCA, Ngwe Hee Sem (Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).
Sementara itu, Sulaiman dalam ucapannya berkata, menjadi tanggungjawab besar buatnya serta barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu untuk menyusun strategi membangunkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat dalam era pasca COVID-19.
"Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan kedudukan majoriti tiga perempat membolehkan urusan pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan dengan kekuatan yang tersendiri.
“Dengan mandat yang diberikan, kerajaan negeri mengiktiraf keinginan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali kepada Melaka,” tambahnya.