10 anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor angkat sumpah
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 14, 2018 16:18 MYT
Mei 14, 2018 16:18 MYT
10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) hari ini selamat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah Kelang, di sini.
Semalam Sultan Sharafuddin telah memperkenankan senarai 10 nama terbabit yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Empat Adun dipilih dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), dua dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan satu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mereka terdiri dari Datuk Teng Chang Khim, Adun Bandar Baru Klang (DAP), Amiruddin Shari, Adun Sungai Tua (PKR), Ganabatirau Veraman, Adun Kota Kemuning (DAP), Haniza Mohamed Talhab dan Adun Lembah Jaya (PKR), Ng Sze Han.
Turut disenarai, Adun Kinrara (DAP), Dr Shaharuddin Badaruddin, Adun Seri Setia (PKR), Hee Loy Sian, Adun Kajang (PKR), Dr Siti Mariah Mahmud, Adun Seri Serdang (Amanah), Ir Izham Hashim, Adun Pandan Indah (Amanah) dan Datuk Abdul Rashid Asari, Adun Selat Kelang (Amanah).
Dalam titah ucapan sejurus selesai istiadat tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berpelembagaan, rakyat Selangor telah memilih ahli-ahli Yang Berhormat yang akan mentadbir negeri dengan penuh harapan.
"Beta percaya parti yang berjaya memerintah telah dapat meyakinkan rakyat negeri Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
"Sekarang adalah masa untuk semua wakil rakyat melupakan apa-apa yang berlaku semasa kempen pilihan raya dan hendaklah bersatu semula serta bekerjasama membangun negeri Selangor," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat agar berhenti serta merta menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah memfitnah.
"Di kesempatan ini Beta menyatakan bahawa penyebaran berita palsu dan fitnah haruslah dihentikan dengan serta merta supaya perasaan buruk sangka akan dapat dihapuskan.
"Jauhkan diri dari rasuah yang mana gejala rasuah ini akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang dan juga merosakkan imej negeri Selangor," titah baginda lagi.
Mengakhiri titah ucapan tersebut Sultan Sharafuddin menegaskan baginda tidak akan mencampuri di dalam pentadbiran kerajaan selagi ianya berjalan lancar dan sempurna.
Namun titah baginda, jika nasib rakyat tidak dibela dan alam sekitar tidak dijaga serta pembangunan tidak seimbang maka baginda akan menggunakan kuasa yang ada.
"Beta akan menggunakan kuasa yang ada pada Beta untuk menegur bagi memperbetul pentadbiran Kerajaan Negeri supaya negeri Selangor ini ditadbir baik dan saksama untuk rakyat sekarang dan generasi akan datang," titah baginda lagi.
#ADUN
#Azmin Ali
#DAP
#Exco
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#Parti Keadilan Rakyat
#pilihan raya umum
#PKR
#PPBM
#Sultan Selangor
#Sultan Sharafuddin Idris Shah