10 ADUN Pakatan Selangor angkat sumpah Exco

Tan Su Lin
September 26, 2014 17:35 MYT
Upacara pelantikan sumpah itu telah berlangsung dihadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini. Foto Fail
Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor hari ini selesai angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi penggal 2013-2018.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan berlangsung penuh istiadat dihadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di Klang bermula pukul 3 petang tadi.
Adun Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim mendahului upacara angkat sumpah, diikuti Iskandar Samad (Cempaka), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan), Dr Ahmad Yunus ‎Hairi (Sijangkang) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa).
Kemudiannya giliran V.Ganabatirau (Kota Alam Shah), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amiruddin Shari (Batu Caves) dan Mohd Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).
Sambil memegang Lembing Sembuana, 10 Adun terbabit melafazkan sumpah jawatan dan 10 ikrar Aku Janji dihadapan Sultan Sharafuddin.
Mereka kemudiannya menandatangani surat cara pelantikan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan kemudiannya mendapat perkenan Sultan.
Turut hadir menyaksikan upacara adalah kerabat diraja, pembesar istana, serta pegawai tinggi kerajaan negeri.
#ADUN #Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri #penggal 2013-2018 #PRK #Sultan Selangor
;