10 ADUN dilantik bentuk Kerajaan Negeri Melaka

Shuhada Abdul Kadir
Mac 13, 2020 13:08 MYT
Barisan 11 portfolio itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali hari ini, sebelum Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco berlangsung pada petang ini. - Gambar fail
Bekas Ketua Menteri Melaka, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), seorang bekas ADUN DAP dan seorang ADUN PKR dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.
Barisan 11 portfolio itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali hari ini, sebelum Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco berlangsung pada petang ini.
Sulaiman yang juga ADUN Lendu dipertanggungjawab memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).
Antara lain yang dilantik termasuk Datuk Seri Idris Haron yang memikul tanggungjawab sebagai Exco Pembangunan Daerah Luar Bandar dan Pengurusan Banjir, Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dari PKR dan Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilantik semula memegang portfolio lama.
Manakala dua ADUN Bersatu masing-masing Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dilantik sebagai Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan serta ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad sebagai Exco Di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) yang merupakan sebuah portfolio yang baharu diwujudkan.
Dalam pada itu, Sulaiman menjelaskan portfolio Hal Ehwal Masyarakat dan Pengguna dikosongkan buat masa ini bagi mencari calon yang sesuai menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Kesemua senarai nama Ahli Exco ini saya telah persembahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Mac lalu dan harini senarai nama itu telah dipersetujui setelah semakan dibuat dengan penuh teliti.
“Bagi portfolio yang kosong ini kita sedang meneliti Adun yang sesuai memenuhi kekosongan itu dan ianya dijangka dilengkapkan dalam tempoh sebulan ini,” katanya dalam sidang media di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, satu-satunya ADUN wanita dibawah gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Adun Taboh Naning, Datuk Latifah Omar dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan.
Manakala, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, dipegang oleh Adun Merlimau Datuk Roslan Ahmad, dan Exco Kesihatan dan Antidadah disandang oleh ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman.
Perikatan Nasional negeri Melaka mempunyai 17 ADUN, membabitkan 13 dari Barisan Nasional (BN), dua dati Bersatu dan masing-masing satu dari PKR dan Bebas.
#ADUN #angkat sumpah #Barisan Nasional #DAP #Datuk Sulaiman Md Ali #idris haron #Ketua Menteri Melaka #Malaysia #PKR #PPBM
;