10 ADUN DAP P. Pinang nafi terlibat gerakan singkir Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 3, 2023 19:28 MYT
Mei 3, 2023 19:28 MYT
GEORGE TOWN: 10 wakil rakyat daripada DAP Pulau Pinang hari ini menafikan terlibat dalam cubaan menyingkirkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Mereka adalah wakil rakyat biasa yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli exco atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.
Mereka diketuai Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih, Lim Siew Khim (Sungai Pinang), Jason H’ng Mooi Lye (Jawi), Heng Lee Lee (Berapit), Joseph Ng Soon Siang (Air Itam), Ong Ah Teong (Batu Lancang), Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), M Satees (Bagan Dalam), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus) membuat penafian tersebut dalam kenyataan bersama pada Rabu.
Menerusi satu kenyataan, mereka menegaskan dan mengesahkan, tidak pernah bercakap dengan portal berita yang menerbitkan artikel yang mendakwa ada usaha untuk menyingkir Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.
Malah, mereka turut menyifatkan artikel berkenaan berniat jahat dan tidak adil apabila tidak menyebut siapa tiga ADUN yang dikaitkan dengan desakan tersebut sekali gus meletakkan kesemua mereka di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu.
"Kami dengan sesungguhnya mengesahkan bahawa kami tidak bercakap dengan portal berita mengenai artikel itu. Justeru untuk mengaitkan laporan itu kepada mana-mana daripada kami tiga ADUN adalah tidak benar dan palsu. Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana portal itu mendapat maklumat mereka yang tidak berasas ini," kata mereka dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, menurut mereka pencalonan untuk kerusi dan jawatan ditentukan oleh parti dan mereka akan menghormati keputusan parti.
"Kami tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian kami daripada objektif kami untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.
"Memenangi pilihan raya negeri akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan kerajaan perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang," kata kenyataan itu lagi.
Pada Rabu, sebuah portal berita mendakwa kononnya terdapat desakan dalaman dari DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.
Laporan tersebut mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Sementara itu, Kon Yeow dalam reaksinya memberitahu tidak mengetahui wujudnya gerakan menyingkirkannya.
Malah sepanjang menjadi Ketua Menteri, beliau juga berkata tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbirannya.