1,592 anggota PKR Melaka mengundi semula esok

Bernama
November 10, 2018 13:06 MYT
Pengundian semula itu hanya untuk anggota parti yang telah datang mengundi pada 20 Okt lepas sahaja. - Gambar fail
Seramai 1,592 anggota PKR bakal mengundi dalam pemilihan semula enam cabang parti itu di negeri ini, esok.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Melaka menerusi kenyataan hari ini menyebut cabang Tangga Batu bakal mempunyai pengundi teramai dengan 638 orang diikuti cabang Jasin seramai 412 orang.
Cabang Masjid Tanah dengan 232 orang, cabang Kota Melaka (180), cabang Hang Tuah Jaya (66) dan cabang Alor Gajah (64).
"Pengundian dilaksanakan di lima pusat pengundian (Masjid Tanah dan Alor Gajah sama pusat) dengan masa pengundian daripada 10 pagi hingga 5 petang kecuali cabang Hang Tuah Jaya daripada 10 pagi hingga 2 petang," menurut kenyataan itu.
Pengundian cabang Masjid Tanah dan Alor Gajah akan diadakan di Kompleks Japerun Lendu; cabang Kota Melaka di Dewan Japerun Duyung; cabang Hang Tuah Jaya di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Bukit Piatu; cabang Jasin di Dewan MPJ Alamanda; dan cabang Tangga Batu di Dewan Japerun Sungai Udang.
Pengerusi JPP PKR pusat, Datuk Rashid Din sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Panel JPP telah berbincang dan menetapkan pengundian semula, antaranya enam cabang di Melaka, dilakukan atas sebab kehilangan data pengundi, masalah teknikal dan gangguan telekomunikasi.
Pengundian semula itu hanya untuk anggota parti yang telah datang mengundi pada 20 Okt lepas sahaja.
-- BERNAMA
#Melaka #pemilihan #PKR
;