Watikah pelantikan calon KITA didakwa tidak sah

Bernama
April 19, 2013 07:46 MYT
Bekas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah Zamil Ibrahim mendakwa watikah pelantikan calon parti berkenaan tidak sah.
Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menerima calon daripada parti itu pada penamaan calon esok.
Zamil berkata watikah itu tidak sah kerana ditandatangani Masrum Dayat yang merupakan setiausaha parti dan bukannya 'Ketua Parti' seperti yang tertera pada watikah tersebut.
"Saya agak terkejut watikah ini ditandatangani dia (Masrum), sedangkan Datuk Zahid Ibrahim masih lagi presiden parti KITA. Jadi watikah itu tidak sah dan ini jelas menunjukkan ada keraguan," katanya semasa ditemui pemberita di pejabat SPR Kedah di sini hari ini.
Sebelum itu, Zamil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di Sungai Petani pada kira-kira 3.45 petang berhubung perkara itu sebelum membuat laporan di pejabat SPR.
Menurut laporan akhbar pada 30 Mac lepas, Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Zaid masih presiden parti itu kerana pihaknya masih belum menerima surat peletakan jawatannya.
Sementara itu, Pengarah SPR Kedah Juhari Abd Rahman berkata pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya selepas menerima surat rasmi daripada Zamil.
"Saya tidak boleh buat keputusan tetapi saya akan memanjangkan ke ibu pejabat secepat mungkin sebab ia memberi implikasi semasa penamaan calon esok," katanya.
Pada pilihan raya umum ke-13 ini, KITA berhasrat bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri dan lima Parlimen.
#BN #calon #DUN #election #KITA #Parlimen #pilihan raya #PRU #PRU-13
;