Untuk apa perlu bertindak ganas?

Arfa Yunus
April 24, 2013 06:44 MYT
Pihak polis perlu mengambil isu keganasan politik sejak kebelakangan ini secara lebih serius.
Begitulah pandangan yang dilontarkan oleh penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang sedang berlangsung, kes-kes keganasan politik mulai timbul satu persatu dan ia dilihat mencapai tahap yang serius.
“Keganasan politik sudah lama berlaku. Ini bukanlah kali pertama. Mungkin ini adalah kali pertama ia terjadi dengan cara begini. Tetapi sebenarnya keganasan politik ini sudah terjadi sejak beberapa bulan lagi.
“Ahli-ahli politik telah meminta pegawai polis untuk menyiasat dan menghentikan perkembangan tidak baik ini,” kata Prof Azmi.
Pada pandangannya tanggungjawab menjaga keamanan sewaktu berkempen harus dipikul kedua-dua belah pihak.
“Kedua-dua parti telah pun merasa kesan keganasan politik dan ini merupakan satu corak yang tidak elok serta harus dihentikan serta merta,” tambah Prof Azmi.
Beliau juga berharap pihak polis memandang serius perkara ini dan bertindak secara adil serta tidak berat sebelah.
“Walau sesiapa pun yang menjadi mangsa, perkara tersebut mestilah disiasat dengan sewajarnya,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut berkongsi pendapat yang sama.
Menurut beliau, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat.
“Walau sesiapa sahaja dari mana-mana parti politik yang bertindak ganas atas apa-apa sebab dan keadaan dalam kempen pilihan raya yang akan datang ini perlu disiasat kerana pada pendapat saya, dengan cara ini baru kita boleh menghentikan kegiatan licik di saat kita meraikan hari besar demokrasi,” kata Prof Agus.
Tambah beliau, keganasan politik perlu dan sepatutnya dielakkan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan yang terbaik memerintah negara untuk lima tahun yang akan datang.
“Untuk apa kita perlu bertindak ganas? Semua parti perlu menerima kempen daripada parti lain, menerima poster daripada parti lain dan mereka perlu bersaing secara sihat,” akhiri beliau.
Berita berkaitan:
Ceramah BN Nibong Tebal dicemari letupan
Letupan di Nibong Tebal berpunca dari bahan 'IED' - Polis
Bilik gerakan BN Sekinchan terbakar dilempar bom petrol
Bilik gerakan BN DUN Duyong dipecah masuk
Penyokong parti cedera dibelasah penyokong parti lawan
Mangsa letupan Nibong Tebal tak patah semangat untuk kempen
#keganasan #penganalisis politik #pihak polis #politik #PRU13
;