Umno Kedah: Usah sebar khabar angin calon PRU

Astro Awani
Mac 10, 2013 00:36 MYT
Jangan syok sendiri dan usah sebar khabar angin mengenai siapa jadi calon pilihan raya.
Ketegasan itu dinyatakan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Bagi Ahmad Bashah, semua pihak tidak boleh mendahului Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan akhir calon pilihan raya.
“Kalau ada orang yang terlalu ghairah cakap dia jadi calon maknanya dia syok sendiri... jadi sepatutnya tak berlaku dan ahli-ahli parti ataupun penyokong-penyokong parti jangan percaya kalau ada orang yang dah bercakap yang dia diberi keputusan untuk menjadi ahli parlimen ataupun dewan undangan negeri,” kata beliau.
Ahmad berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pilihan raya Umno negeri Kedah.
Sebelum ini, ada segelintir ahli Umno negeri yang mengaku mereka adalah calon pilihan pucuk pimpinan bagi pilihan raya akan datang.
Sementara itu Ahmad Bashah turut menegaskan bahawa jentera di 672 pusat daerah mengundi telah bersedia untuk membuat tinjauan dan menyampaikan maklumat kepada kira-kira 1.04 juta pengundi.
Daripada jumlah itu 35 peratus adalah ahli Umno.
Untuk rekod kedah mempunyai kira-kira 400 ribu pengundi baru yang berusia di bawah 40 tahun.
#Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah #Kedah #pilihan raya #PRU-13 #UMNO