Ummi Hafilda tawar diri lawan Azmin
Bernama
April 12, 2013 16:28 MYT
April 12, 2013 16:28 MYT
Ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali menawarkan diri untuk bertanding menentang abangnya Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum kali ini.
Katanya beliau yakin dengan kebenaran yang diperjuangkan selama ini beliau mampu mengalahkan Azmin baik di kawasan parlimen mahupun dewan undangan negeri yang ditandingi abangnya itu.
"Tetapi ini semua bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno. Saya yakin Azmin akan tersungkur kerana sebagai ahli keluarga saya tahu kelemahan beliau," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah 'bongkar', di Kampung Sungai Pinang, di sini malam tadi.
Pada masa yang sama Ummi berkata beliau akan terus menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu berkaitan Azmin dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Apa yang saya lakukan ini bukan kerja main-main kerana rakyat harus disedarkan supaya tidak tersalah memilih dalam pilihan raya nanti," katanya.