Tiket, bas dan koc tambahan sempena PRU-13

Bernama
April 29, 2013 14:28 MYT
Syarikat konsortium bas ekspres, Konsortium Transnasional Berhad (KTB) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tiket dan koc tambahan bagi menampung keperluan warga kota untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata sebanyak 40,000 tiket disediakan mulai 1 hingga 6 Mei ini berbanding hanya 24,000 tiket pada hari biasa dan kesemua 700 buah bas milik KTB akan beroperasi bagi memastikan perjalanan penumpang ke semua destinasi seluruh Semenanjung Malaysia berjalan lancar.
"Jumlah itu merangkumi ketiga-tiga perkhidmatan bas ekspres di bawah KTB iaitu Transnasional, Plusliner dan Nice Coaches.
"Perjalanan ke negeri-negeri pantai timur seperti Kota Bharu dan Kuala Terengganu merupakan laluan paling popular bukan sahaja untuk penduduk Lembah Klang tetapi juga bagi negeri-negeri lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Perkhidmatan InterCity KTMB Mohd Noordin Kimi berkata KTMB menyediakan koc tambahan bagi menampung jumlah permintaan penumpang yang tinggi sempena PRU13 ini.
Katanya sebanyak 91,586 tiket disediakan bagi perkhidmatan tren Intercity dan tren ETS ke seluruh destinasi bagi tempoh 1 hingga 8 Mei.
"Setakat ini, lebih 30,400 tiket telah dijual dan kebanyakan tiket itu bagi perjalanan mulai 3 hingga 5 Mei," katanya.
Dalam pada itu, sebagai meningkatkan langkah keselamatan, KTMB juga menyediakan pasukan khas yang akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua trek kereta api berada dalam keadaan baik.
Beliau juga menasihati penumpang agar bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, keluarga dan barangan yang dibawa selain menyarankan mereka membeli tiket perjalanan dua hala bagi mengelak kesesakan ketika perjalanan pulang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai tiket dan waktu perjalanan kereta api boleh melayari laman sesawang di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200.
#Keretapi Tanah Melayu Berhad #Konsortium Transnasional Berhad