Terima keputusan rakyat -- Najib

Astro Awani
Mei 5, 2013 01:19 MYT
Barisan Nasional mengekalkan pemerintahan untuk lima tahun akan datang selepas berjaya memenangi pilihan raya umum ke-13 yang disifatkan oleh banyak penganalisis sebagai yang paling sengit dalam sejarah.
BN menang 133 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas menang 89 kerusi, menambah 7 kerusi daripada yang dimenangi pada pilihan raya umum pada 2008.
DAP bakal mengetuai pakatan itu di Dewan Rakyat dengan 38 kerusi manakala PKR menang 30 dan Pas 21.
Keputusan itu bagaimanapun ditolak oleh Pakatan Rakyat dengan alasan wujud penipuan dan penyelewengan dalam pengundian.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media tidak lama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan kemenangan BN meminta semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
"Demi kepentingan negara, saya berharap semua pihak terutama sekali parti pembangkang akan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan membenarkan proses demokrasi berjalan dengan baik dan lancar," katanya.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Pakatan Rakyat untuk mengemukakan dakwaan penipuan dan penyelewengan itu ke muka pengadilan, "sekiranya ada bukti".
"Jika ada bukti salah, boleh utarakan (ke pengadilan) … ada mahkamah," katanya.
Najib menegaskan, kerajaan BN yang telah diberi mandat oleh rakyat ada banyak tugas besar yang lain terutamanya menunaikan segala janji yang telah ia bentangkan kepada rakyat pada sepanjang kempen pilihan raya.
Kemenangan BN itu juga, jelas Najib, adalah keputusan yang diperolehi daripada amalan demokrasi yang telah berjalan dengan teratur dan telus melalui beberapa kaedah tambahan yang digunakan dalam proses pengundian.
Dalam pilihan raya umum ke-13 ini, SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal serta undian awal dan hak mengundi kepada pengundi di luar negara.
Sementara itu, ditanya kemungkinan tindakan penyokong Pakatan Rakyat melakukan protes membantah keputusan pilihan raya ini, Najib berkata, beliau yakin pihak berkuasa mampu menangani segala kemungkinan itu.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media lewat tengah malam tadi mendesak SPR membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan Pakatan Rakyat bahawa terdapat penipuan ketika hari mengundi.
Beliau merujuk kepada dakwaan adanya pengundi hantu di beberapa kawasan yang dikesan oleh petugas pilihan raya daripada PKR, DAP dan Pas.
"SPR perlu membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan kami. Kami mahu SPR yang keluarkan kenyataan, bukan BN," katanya.
Anwar dalam tweetnya pada Ahad juga telah mengatakan bahawa PR telah pun memenangi PRU-13 dan menggesa UMNO dan SPR tidak cuba untuk mengubah keputusan itu.
Sementara itu, Najib menegaskan BN akan melaksana dan menunaikan semua aku janji yang telah dibentangkan oleh parti itu dalam manifestonya.
"BN akan tubuh mekanisme khusus untuk memantau pelaksanaan aku janji tersebut supaya rakyat sedar apabila kita sudah membuat janji, kita akan tepati janji tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Najib mengakui bahawa keputusan pilihan raya umum ini menunjukkan adanya trend polarisasi kaum yang membimbangkan yang "jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, boleh menimbulkan ketegangan dan perbalahan dalam negara."
BN mencatatkan prestasi buruk di kebanyakan kerusi majoriti Cina di seluruh negara yang beralih dengan cukup signifikan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
DAP yang bertanding 20 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor menembusi negeri yang selama ini jadi kubu kuat BN itu apabila menang 15 kerusi.
Ini termasuk di beberapa kerusi tumpuan seperti kerusi Parlimen Gelang Patah, Kulai dan Kluang.
Bagi menangani trend yang beliau akui membimbangkan itu, Najib mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah menyelaraskan keharmonian antara masyarakat berasaskan prinsip kesederhanaan yang menjadi teras pentadbirannya sejak jadi Perdana Menteri pada 3 April 2009.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #BN #Najib Tun Razak #Pakatan Rakyat #Parlimen #PRU-13 #PRU13
;