Surat pecat ahli UMNO tanding bebas keluar Isnin
Wan Syamsul Amly
April 20, 2013 14:01 MYT
April 20, 2013 14:01 MYT
Mana-mana ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ini akan dipecat daripada parti dan surat pemecatan mereka akan dikeluarkan pada Isnin, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tiket bebas tak boleh kekal sebagai ahli parti. Pada Isnin ini kita akan mengeluarkan surat pecat calon yang bertanding bebas dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
"Kalau ada satu dua yang perlu dikorbankan, lebih baik kita korbankan daripada kita kena korbankan parti,'' katanya semasa jamuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Pekan dan jentera parti di kediamannya di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Kamilia Ibrahim yang mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas di Kuala Kangsar.
Selain Kamilia,bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Mohd Shariff Omar turut mengumum bertanding sebagai calon bebas di Tasik Gelugor.
Pada majlis sama, Najib meminta kerjasama pengundi untuk menyokong calon BN yang sudah rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
''Saya harap semua bagi undi kepada kita. Ini dapat menjamin keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini,'' ujarnya.
Najib turut menghargai pemimpin di kawasan Pekan yang memberi laluan muka baru calon bertanding kerusi DUN di situ.
BERITA LANJUT MENYUSUL