SPR tepis dakwaan dakwat kekal mudah ditanggal
Aizat Sharif
Mei 5, 2013 15:13 MYT
Mei 5, 2013 15:13 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menepis dakwaan bahawa penggunaan dakwat kekal yang dicalitkan pada jari pengundi pada pilihan raya kali ini mudah untuk dicuci dan ditanggalkan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata walaupun dakwat tersebut boleh dibasuh namun ianya tidak boleh ditanggalkan sepenuhnya.
"Saya yakin ianya tidak 100 peratus boleh dibersihkan, mungkin kuku yang boleh dibersihkan tetapi dakwat yang berbaki antara kuku dan kulit tidak 100 peratus akan tanggal jadi jikalau pengundi itu hendak pergi mengundi untuk kali kedua dengan alasan jarinya bersih, bagaimana beliau hendak megundi kerana namanya sudah dipotong," kata Wan Ahmad.
Namun disebalik dakwaan itu, proses pilhan raya katanya tidak akan terjejas.
Selain itu juga, beliau menjelaskan bahawa bekalan dakwat kekal yang dibekalkan di setiap saluran pengundian adalah cukup sama sekali.
"Ianya adalah mustahil untuk mengatakan bahawa dakwat tidak cukup kerana kita telah pun membekalkan tambahan dua hingga tiga botol dakwat di setiap saluran pengundian, jadi isu bekalan dakwat tak cukup tidak timbul," kata beliau lagi.
Menurut beliau, sebotol dakwat mampu mencalit 100 jari ketika pilihan raya ini.
Sementara itu, beberapa pengundi yang ditemui mengakui bahawa dakwat kekal berwarna biru yang dicalitkan di jari kiri mereka mudah dicuci dan ditanggalkan.
Fikri Aqmal Kamruddin, 23, yang membuang undi untuk Parlimen Titiwangsa di SK Kampung Baru mengatakan bahawa dakwat tersebut semakin menghilang apabila dia membasuhnya menggunakan sabun.
"Saya cuba mencucinya dengan sabun setelah saya membuang undi tadi dan saya dapati ianya memang senang ditanggalkan," katanya kepada Astro Awani.
Seorang pengundi, Tufayl Manap, 24, yang mengundi di Parlimen Gombak dan DUN Hulu Kelang di SAR Taman Melawati turut mengakui bahawa dakwat tersebut senang ditanggalkan.
"Walaupun saya tidak mencucinya dengan menggunakan sabun, namun apabila saya menggosokkannya berkali-kali saya dapati ianya semakin menghilang," kata Tufayl.
Malah, terdapat rungutan mengenai dakwaan ini yang diluahkan oleh pengundi melalui laman Twitter.
Klik video untuk laporan Astro AWANI.