SPR nafi peti undi Putrajaya tercicir

Bernama
Mei 5, 2013 19:28 MYT
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata proses pengiraan dan penjumlahan undi disaksikan pemerhati terdiri daripada ejen parti politik dan agensi antarabangsa.
Beliau sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa peti undi di Putrajaya tercicir.
"Terlalu banyak cerita tidak benar yang disebarkan melalui media sosial. Proses penjumlahan juga berjalan lancar. Kenapa mereka-reka cerita," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini.
Wan Ahmad turut menafikan kononnya ejen untuk pengiraan undi di Lembah Pantai dihalau ketua tempat mengundi selepas ditutup.
Beliau berkata dakwaan sedemikian hanyalah bertujuan memfitnah dan memburukkan imej SPR.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya untuk Barisan Nasional (BN) buat kali ketiga berturut-turut apabila menewaskan calon PAS Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi pada pilihan raya umum ke-13 Ahad.
Tengku Adnan memperoleh 9,943 undi untuk mengalahkan Husam yang mendapat 4,402 undi, sekaligus melenyapkan impian PAS menawan pusat pentadbiran negara itu.
Majoriti yang diperoleh Tengku Adnan kali ini adalah yang paling besar berbanding dua pilihan raya umum lepas dan sekali ganda daripada majoriti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.
Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Tengku Adnan mengatasi calon PAS Mohamad Noor Mohamad dengan kelebihan 2,734 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Muhammad Haitamin Ishak mengumumkan keputusan itu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Kompleks Kejiranan Persint 9 di sini pada 9.30 malam.
Pengumuman itu disambut dengan sorakan gembira daripada anggota keluarganya serta para penyokong BN yang menunggu pengumuman keputusan itu sejak 6.30 petang.
Muhammad Haitamin berkata Sebanyak 91.2 peratus iaitu kira-kira 13,719 orang daripada 15,791 pengundi di kawasan itu mengundi hari ini.
Selain itu, sebanyak 75 undi ditolak, katanya.
#Parlimen #PRU-13 #PRU13 #Putrajaya