SPR Johor jangka keputusan diperoleh mulai 9 malam
Bernama
Mei 4, 2013 19:17 MYT
Mei 4, 2013 19:17 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor menjangkakan keputusan keseluruhan pilihan raya umum ke-13 negeri itu akan diketahui secara berperingkat mulai 9 malam, esok.
Pengarahnya Rokiah Hanum Ibrahim berkata sebanyak 910 pusat pengundian di seluruh Johor akan mula dibuka seawal 8 pagi dan ditutup tepat 5 petang.
"Kertas-kertas undi akan dikira mengikut prosedur yang ditetapkan mulai pukul 5.30 petang dan jangkaan peti undi tiba di pusat penjumlahan keseluruhan kira-kira dua jam kemudian.
"Ini kerana ia bergantung kepada jarak pusat mengundi dengan pusat penjumlahan dan jika lagi jauh pusat mengundi itu, mungkin terpaksa mengambil masa lebih lama untuk sampai," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Rokiah berkata pihaknya memberi jaminan tahap keselamatan peti-peti undi adalah tinggi berikutan Polis Diraja Malaysia Kontijen Johor akan menempatkan sekurang-kurangnya seorang anggota bagi seorang ketua pusat mengundi bagi kelancaran proses penjumlahan undi.
Selain itu katanya, proses membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi akan diiring anggota polis berpengalaman dengan kekuatan mencukupi malah rondaan polis bermotosikal dan berkereta juga akan menjamin keselamatan peti undi itu.
"Lebih 3,000 anggota polis akan bertugas sepanjang hari pembuangan undi esok dan ada yang ditempatkan di setiap pusat mengundi bagi memantau keselamatan pengundi selain peti undi," katanya.
Menurut Rokiah, pihaknya telah memberi taklimat sekurang-kurangnya dua kali kepada lebih 24,000 petugas SPR dan sekali oleh pegawai pengurus petugas tersebut bagi memastikan proses pengundian dan penjumlahan undi dapat berjalan dengan lancar.
Beliau turut menasihati orang ramai agar membawa kad pengenalan dan memeriksa pusat pengundian terlebih dahulu menerusi laman web SPR bagi memudahkan proses membuang undi, selain menjimatkan masa.
Pada PRU ini, Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 26 kerusi Parlimen membabitkan seramai 1.61 juta pengundi berdaftar.