Saingan tiga penjuru di Kangar?
Haider Yutim
April 15, 2013 14:44 MYT
April 15, 2013 14:44 MYT
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya telah menafikan sebuah laporan yang mengatakan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Beliau sebelum ini dilaporkan oleh The Star online akan bertanding di kerusi itu di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pencalonan kerusi Parlimen Kangar untuk Perlis mufti Juanda Jaya masih belum disahkan," mengikut satu kenyataan Juanda di Twitter.
Kerusi Parlimen Kangar telah disandang oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Mohd Radzi telah menewaskan calon dari PKR Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dengan majoriti 13,671 undi pada pilihan raya umum 2008.
Beliau juga dilaporkan oleh media tempatan antara pemimpin veteran BN yang bakal mengundur diri dari kerusinya untuk PRU13.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan bahawa Temerloh dan Kangar bakal ditandingi calon Pas iaitu Ketua Dewan Pemudanya, Nasruddin Hassan dan Baharuddin Ahmad.
Ini telah menjadikan pencalonan Juanda satu tanda tanya, dan ada yang khuatir kerusi itu mungkin menyaksikan persaingan tiga penjuru atau lebih.
Baru-baru ini juga, Pas Wilayah Persekutuan telah menyuarakan kekecewaan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kerana membuat pengumuman calon di kawasan itu tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Azmin pada Khamis pula mengumumkan, PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan yang pernah ditandingi Pas pada PRU 2008.
Pertukaran kerusi antara sekutu Pakatan Rakyat itu dibuat berikutan timbulnya bantahan di kalangan penyokong PKR apabila Pas dikatakan mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.