Ribuan menanti pembentangan manifesto BN
T K Letchumy Tamboo
April 6, 2013 18:24 MYT
April 6, 2013 18:24 MYT
Ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) mula membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil sedari awal pagi lagi bagi menanti pembentangan manifesto BN oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada pukul 9 malam ini.
Antaranya adalah penyokong BN Perak yang tiba seawal 11 pagi tadi.
Salah seorang anggota rombongan Rogayah Yusof, 46, berkata mereka tiba awal untuk mendapatkan tempat duduk di stadium yang boleh memuatkan 16,000 orang itu.
"Bas kami membawa seramai 40 orang dari Padang Rengas. Kami hendak berada di hadapan Perdana Menteri semasa ucapannya nanti," kata Rogayah.
Sementara itu, di celah-celah lautan biru dan putih yang merupakan warna BN, ada satu kumpulan yang menarik perhatian ramai dengan penampilan yang agak berbeza.
Kumpulan itu berasal dari kumpulan orang asli yang siap memakai 'tampok' di kepala mereka.
Salah seorang daripada mereka, Masuhaini Pandak Mamak, 27, berkata kumpulan itu yang berasal daripada Bukit Kala Batu 12, Gombak merupakan penyokong setia BN sejak dahulu lagi.
"Kami memakai tampok ini untuk menunjukkan tradisi kami, yang kian dilupakan pada masa kini," katanya.
Manifesto BN kali ini dijangka menumpukan kepada usaha mengubah taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan ekonomi negara.