Rakyat Kedah sudah mulai sedar - Tun Mahathir

Astro Awani
Mac 11, 2013 13:01 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata kejayaan terbesar yang dicapai oleh Pas ialah melaksanakan pendekatan yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap umno.
Bagaimanapun pendekatan parti Pas kafirkan orang yang tidak menyokong parti itu membuatkan ramai penyokongnya sedar bahawa pendekatan yang digunakan selama ini bertentangan dengan ajaran islam selain merosakkan perpaduan dan hubungan kekeluargaan.
“Saya percaya rakyat Kedah pun sudah mulai sedar dan mula menimbang kenyataan yang dikeluarkan ketua parti Pas itu yang dilihat semakin terdesak dengan menghina umat islam senegara demi kepentingan politik,” kata Mahathir.
Tambahnya, Pas sebenarnya lemah kerana sanggup menggugurkan perjuangan menegakkan negara islam dan hanya mengikuti telunjuk Pakatan Pembangkang.
“Hanya Umno sahaja yang boleh mempertahankan hak rakyat pelbagai kaum kerana BN adalah parti campuran, bukan pakatan yang boleh mengakibatkan perpecahan di belakang hari,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Program Bersama Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamed di Kulim Kedah.
Beliau juga melihat keutuhan Umno dan BN serta sokongan positif rakyat terhadap parti komponen berkenaan bertambah baik di Kedah dan petanda BN mampu meraih kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
#Kedah #PAS #Tun Mahathir Mohamed #UMNO