PSM minta Hadi buktikan tuduhan komunis

Aizat Sharif
April 22, 2013 20:39 MYT
Nasib Parti Sosialis Malaysia tidak ubah bagaikan jatuh ditimpa tangga. Selepas ‘ditikam’ dari belakang oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR), parti itu kini ditohmah pula sebagai pendukung aliran komunisme.
Selepas dikejutkan dengan pertembungan sesama sendiri antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) di DUN Kota Damansara pada hari penamaan calon Sabtu lalu, calon PKR, Dr. Mohd Nasir Hashim ‘ditikam’ pula dari belakang oleh rakan sekutu PR.
‘Serangan’ daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Terengganu pada Ahad malam mendakwa terdapat calon PR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini yang berfahaman komunis.
Tanpa menamakan parti dan calon tersebut, Abdul Hadi mendedahkan bahawa di markas gerakan parti tersebut, ada digantungkan gambar pengasas dan pendukung aliran komunisme seperti Karl Marx, Joseph Stalin dan Vladimir Lenin.
Malah, Abdul Hadi mendakwa parti tersebut melambangkan Karl Marx itu bagaikan ‘Nabi Muhammad’ kerana ideologi komunisnya dan PR perlu ‘dijauhkan’ daripada ‘syaitan-syaitan’ ini.
Dr. Mohd Nasir, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding di DUN Kota Damansara atas tiket PKR sangat tersinggung dengan dakwaan yang dilemparkan oleh Abdul Hadi itu dan meminta penjelasan sebenar daripada Abdul Hadi.
“Meskipun, kenyataan Abdul Hadi itu tidak menamakan nama parti tersebut, ramai pihak beranggapan ‘serangan’ itu ditujukan kepada saya yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Kota Damansara ini,” kata Dr Mohd Nasir kepada pemberita di Bilik Gerakan PSM, Kota Damansara.
PSM sangat kecewa dengan kenyataan Abdul Hadi dan segala tohmahan yang dilemparkan sangat tidak berasas dan menyedihkan.
“Kami berharap Presiden PAS dapat menjelaskan kepada kami samada ‘serangan’ yang ditujukan beliau itu merujuk kepada PSM dan kerusi DUN Kota Damansara dan sila tarik semula segala kenyataan yang dikeluarkan,” kata Dr Mohd Nasir lagi.
Jelas beliau, sepanjang lima tahun berkhidmat di Kota Damansara, PSM telah memperjuangkan hak rakyat maka tidak akan timbul isu seandainya PAS menidakkan usaha PSM selama mereka berada di situ.
“PSM adalah parti berfahaman sosialis dan bukannya komunis. Kami tidak pernah melanggar ajaran Islam dan seandainya ada perlakuan berunsur komunis dan anti-Islam dilakukan sila kemukakan bukti,” tegasnya lagi.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan, tohmahan yang dilemparkan itu adalah usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau daripada kawasan Kota Damansara.
Isu ini bertambah ‘panas’ apabila PAS Subang meletakkan calonnya untuk bertanding walaupun difahamkan tiada restu daripada PAS Selangor dan Pusat.
“Isu ini sebenarnya bukanlah persoalan ideologi tetapi hanya perebutan kerusi. Isunya, PAS mahukan balik tempat ini walaupun beberapa tahun lalu mereka tewas di sini.
"Ketika pembahagian kawasan untuk calon Pakatan Rakyat bertanding (PRU 2008) tiada siapa mahukan kawasan seperti Kota Damansara, Semenyih dan Sungai Siput, maka kami adalah orang pertama yang bertanding menggunakan tiket PKR kerana PSM ketika itu belum didaftarkan lagi,” kata Dr Mohd Nasir.
Menurutnya, ramai calon PR menolak bertanding di Kota Damansara kerana potensi untuk kalah di situ adalah sangat besar.
“Namun kita tetap bertanding dan menang, dan sekarang ada pula pihak yang dahulu tidak mahu kawasan ini dengan tiba-tiba mahukannya semula,” kata beliau.
Difahamkan, PAS akan bermesyuarat pada malam ini (Isnin) untuk membincangkan kedudukan calon mereka di Kota Damansara.
PSM pula tidak akan menarik diri dari bertanding atas alasan mereka adalah penyandang kerusi tersebut dan sedia membincangkan semula hubungan mereka dengan PR selepas PRU-13 berakhir.
#komunis #Kota Damansara #PAS #PKR #PRU-13 #PRU13 #PSM #sosialis
;