PRU13: Kerusi tumpuan di Selangor

Ashwad Ismail
Mei 4, 2013 07:30 MYT
Persaingan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Selangor — yang satu mahu mengambil semula; yang satu lagi hendak mempertahankan kuasa — akan ditentukan hari ini oleh lebih 2 juta pengundi di negeri itu.
Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus atau 1,007,612 pemilih merupakan pengundi Melayu diikuti kaum Tionghua sebanyak 34.06 peratus atau 683,597 dan pengundi India, 14.39 peratus.
Tujuh kerusi Parlimen jadi tumpuan di Selangor kerana dua faktor. Pertama, pertentangan politik sengit antara sosok-sosok ternama dan kedua, persaingan itu mencerminkan sentimen masyarakat di seluruh 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di negeri itu.
Berikut kerusi tumpuan di Selangor:
P108 Parlimen Shah Alam
Kerusi ini jadi medan menguji sentimen pengundi Melayu dengan latar belakang golongan kelas menengah dan atas, serta sentimen pengundi Melayu di bandar terhadap BN mahu pun Pakatan Rakyat.
Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya daripada PAS, Khalid Samad yang dicabar oleh calon BN, Datuk Zulkifli Nordin.
Kerusi ini jadi tumpuan kerana kedudukan Zulkifli yang juga Naib Presiden Perkasa yang dicalonkan sebagai rakan BN. Sepanjang kempen, kenyataannya pada 2010 yang didakwa menghina kaum India dibangkitkan semula oleh beberapa pihak.
Biarpun Zulkifli memohon maaf berhubung kenyataan itu dan kehadirannya di Shah Alam diterima oleh sebahagian masyarakat India, sokongan sebahagian pemimpin MIC terhadap beliau jadi tanda tanya.
Selain isu berkaitan perkauman, kerusi panas ini juga menyaksikan kempen yang bertumpu kepada soal agama terutamanya isu penggunaan kalimah Allah yang disokong oleh Khalid.
P100 Parlimen Pandan
Kerusi ini dijangka jadi kayu pengukur sentimen pengundi Cina di bandar terhadap Barisan Nasional.
Umum mengetahui, masyarakat Tionghua mendominasi pengundi atas pagar yang agak sukar disukat kecenderungannya biarpun pada hari-hari akhir menjelang hari pengundian.
Kerusi ini sebelumnya jadi perhatian kerana desas-desus penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat bertanding sebagai calon bebas selepas tidak disenaraikan sebagai calon oleh BN.
Beliau bagaimanapun kemudian merestui bekas setiausaha sulitnya, Allan Tan bertanding sebagai calon bebas menggunakan simbol gajah.
Kerusi ini juga ditandingi oleh calon BN yang merupakan calon muda dan muka baru, Gary Lim bersama tokoh muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Pengundi Cina mewakili 48.14 peratus daripada keseluruhan 83, 857 pengundi berdaftar di Pandan.
P.99 Parlimen Ampang
Kerusi P99 menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara dua tokoh politik wanita.
Penyandangnya, Zuraida Kamaruddin yang juga ketua sayap wanita PKR dicabar calon BN, Datuk Dr. Rozaidah Talib.
Kerusi ini akan menguji sejauh manakah kekuatan angin peralihan undi masyarakat Melayu bandar terhadap BN yang merupakan 55.28 peratus daripada keseluruhan 83,135 pemilih.
P.96 Kuala Selangor
Kuala Selangor pula menguji sentimen pengundi Melayu dan India terutama golongan kelas menengah dan bawah di kawasan pinggir dan luar bandar.
Pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya daripada PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad dan calon BN yang menampilkan pemimpin belia yang juga anak tempatan, Datuk Irmohizam Ibrahim.
Kerusi ini jadi cabaran kepada PAS untuk menguji sejauh mana keyakinan Melayu luar bandar yang mewakili 64 peratus pengundi terhadap parti itu untuk menjuarai isu-isu Melayu dan Islam.
P.113 Parlimen Sepang
Kerusi ini menguji sejauh mana calon-calon Bebas pro-BN yang bertanding susulan daripada kekecewaan akibat tidak dicalonkan oleh parti mencorak pola pengundian di kubu kuat BN itu.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Zin Mohamed selaku penyandang kerusi itu dicabar dalam saingan 4 penjuru. Beliau berdepan dua calon Bebas, Suhaimi Ghazali dan Hanapiah Mohamad serta seorang calon PAS, Hanipa Maidin.
P.102 Parlimen Serdang
Pertembungan satu lawan satu di kawasan majoriti Cina ini menyaksikan saingan antara DAP dan MCA yang mewakili BN. Ia juga pertembungan antara calon yang mewakili generasi baru dengan calon generasi lama.
DAP memindah penyandang kerusi ini, Teo Nie Ching bertanding di kerusi Parlimen Kulai. Ia meletakkan Pengarah Strategik Pilihan Rayanya, Dr. Ong Kian Ming jadi calon di kerusi ini.
Lawan beliau ialah pemimpin veteran MCA yang dibawa masuk semula ke gelanggang pilihan raya, Datuk Yap Pian Hon. Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2008.
P.107 Subang
Pertembungan lima penjuru menyaksikan penyandangnya R. Sivarasa berdepan tugas berat dalam mengekalkan kerusi milik PKR itu.
Selain dua calon bebas dan seorang calon daripada BERJASA Mohamad Ismail, pertembungan utama BN yang diwakili calon baru, A. Prakash Rao dengan PKR dijangka digugat dengan pemecahan undi. Pemenangnya dijangka menang dengan majoriti undi yang tipis.
#Barisan Nasional #election #GE-13 #GE13 #pakatan #PAS #pilihan raya #PRU-13 #PRU13 #Selangor
;