PRU-13 lahirkan penyokong kreatif
Astro Awani
April 14, 2013 19:05 MYT
April 14, 2013 19:05 MYT
Hanya berbaki 6 hari menjelang permulaan tempoh berkempen, penyokong-penyokong parti politik menterjemahkan tanda sokongan melalui pelbagai cara yang positif.
Antaranya, dua beradik, Roslan dan Asri Hashim yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk mencipta replika-replika menggunakan lambang parti politik.
Terkenal sebagai tukang ukir yang mahir, musim pilihan raya ini dimanfaatkan mereka untuk menterjemahkan sokongannya terhadap Barisan Nasional.
“Apa salahnya kita sebagai orang biasa ini membuat sesuatu yang lebih kepada idea disamping menonjolkan keupayaan kami menerusi sokongan terhadap parti pilihan raya ini,” kata Roslan dengan teruja.
Tinjauan Astro Awani di seluruh bandaraya Alor Setar mendapati, terdapat pelbagai jenis replika dibina.
Bukan sahaja pintu gerbang dan ukiran lambang parti, malah replika seperti jet pejuang dan kereta kebal turut dicipta melambangkan tanda sokongan terhadap pengusiran penceroboh di Sabah.
Selain menyemarakkan lagi kemeriahan pilihan raya, ia juga secara tidak lansung menjadi medan pameran kreativiti masing-masing menerusi karya mereka.