Polis sangkal guna akta Sosma untuk PRU-13
Astro Awani
April 13, 2013 19:24 MYT
April 13, 2013 19:24 MYT
Polis mengecam tindakan segelintir pihak yang menyebarkan cerita kononnya akta kesalahan keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13)
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf kecewa maklumat salah itu terus disebarkan walaupun penjelasan telah dibuat berulang kali.
Ramli menegaskan pihak berkenaan harus berhenti membuat kenyataan yang berbaur fitnah berhubung isu Sosma.
“Ingin saya tegaskan lagi bahawa tomahan yang disebut atau dispinkan dalam media sosial terutamanya adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” kata Ramli dengan tegas.
Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang masih menggunakan isu Sosma untuk mengkritik pihak polis.
Polis sebelum ini telah menjelaskan Sosma hanya akan digunakan jika keselamatan benar-benar terancam dan menggugat ketenteraman awam.
Jika kempen berjalan seperti biasa, kes yang timbul akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dalam kanun keseksaan.