Polis: Proses pembuangan undi lancar

Hasbullah Awang Chik
Mei 5, 2013 20:38 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu keadaan keseluruhan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berada dalam keadaan baik.
"Sejak pusat pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, hanya terdapat beberapa kes salah faham di antara penyokong parti-parti politik. Pihak polis telah bertindak cepat dengan mengawal keadaan di pusat pengundian.
"Polis meminta penyokong dan orang ramai bersabar menunggu keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar nanti.
"Saya minta semua pihak menerima keputusan yang diumumkan dengan baik. Jangan berkumpul beramai-ramai di jalan raya. Itu bukan caranya," jelas Ismail.
Ismail berkata dalam satu perbualan telefon sewaktu diwawancara dalam rancangan Malaysia Memilih 2013 yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI.
Ismail turut menggesa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya agar menggunakan saluran perundangan yang diperuntukkan dan bukan sebaliknya.
Di samping itu, Ismail turut mengulas berkenaan kemalangan kecil yang berlaku ke atas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
"Angin kencang telah menyebabkan helikopter terbalik. Menteri dan rombongannya semua selamat. Mereka hanya agak terkejut dengan kejadian berkenaan.
#Ismail Omar #parti politik #pembuangan undi #polis #PRU-13 #salah faham #SPR
;