Polis P.Pinang tahan 'bookie' PRU kumpul pertaruhan RM1 juta
Bernama
Mei 3, 2013 22:00 MYT
Mei 3, 2013 22:00 MYT
Polis Pulau Pinang hari ini menahan enam 'bookie' yang telah mengumpul wang pertaruhan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hampir RM1 juta sejak dua minggu lalu.
Jurucakap PRU13 Kontinjen Negeri, ACP Roslee Chik berkata para bookie itu ditahan di sekitar Datok Keramat, Paya Terubong dan Relau pada pukul 5 petang tadi.
"Mereka membuat urus niaga melalui panggilan telefon kepada pelanggan dan wang pertaruhan akan dimasukkan ke dalam akaun yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengenai operasi tangkapan itu, Roslee berkata ia merupakan tangkapan terbesar setakat ini dan menambah polis Pulau Pinang telah menubuhkan 26 pasukan risikan khas bagi memantau dan mengesan kegiatan bookie sepanjang musim PRU13 ini.
Beliau berkata pihak polis turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Individu yang terbabit dalam kegiatan pertaruhan boleh didakwa mengikut Seksyen 63 Akta Pertaruhan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, katanya.