PM S'pura ucap tahniah kepada Najib atas kemenangan PRU13

Bernama
Mei 6, 2013 16:26 MYT
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menelefon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari ini bagi mengucapkan tahniah atas kemenangannya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Lee berkata beliau tidak sabar-sabar untuk terus bekerjasama dengan Najib bagi mengukuhkan hubungan.
Kedua-dua perdana menteri itu bersetuju untuk terus meningkatkan kerjasama dua hala. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar, Lee juga telah menulis surat ucapan tahniah kepada Najib.
Dalam suratnya, pemimpin Singapura itu mengucapkan tahniah kepada Najib yang memimpin Barisan Nasional sehingga mencapai kemenangan pada PRU13 dan begitu juga atas kemenangan Najib di kerusi Parlimen Pekan, Pahang.
"Kemenangan Barisan Nasional yang meyakinkan menggambarkan keyakinan rakyat tuan atas kepimpinan tuan dan nilai yang mereka letakkan atas kesinambungan dan kestabilan.
Ini merupakan pilihan raya umum yang dimenangi dengan usaha keras tetapi tuan menggerakkan kempen yang kukuh yang memberi tumpuan kepada kebimbangan rakyat tuan dan meyakinkan mereka mengenai wawasan tuan untuk Malaysia," katanya.
"Saya doakan yang terbaik buat kerajaan tuan bagi penggal berikutnya. Saya tidak sabar-sabar untuk terus bekerjasama dengan tuan bagi merapatkan lagi kerjasama dua hala.
Seperti yang kita bincangkan pada Pemukiman Pemimpin kita pada Februari, negara kita mempunyai kepentingan yang luas dan berkembang untuk kejayaan antara satu sama lain. Mari kita perkukuh kerjasama rapat kita bagi manfaat rakyat kedua buah negara," kata Lee.
Lee berkata: Ho Ching (Puan Lee) bersama-sama saya mengucapkan tahniah kepada tuan dan Datin Seri Rosmah untuk kesihatan dan kejayaan yang berterusan. Kami berharap untuk bertemu tuan sekali lagi tidak lama lagi."
#Barisan Nasional #election #GE-13 #GE13 #najib #pakatan #PAS #pilihan raya #PRU-13 #PRU13 #Singapura
;