PM: Rakyat bebas pilih jenis pendidikan
Wan Syamsul Amly
Mei 4, 2013 18:04 MYT
Mei 4, 2013 18:04 MYT
Dasar terbuka dan pragmatik yang diamalkan kerajaan selama ini terutamanya dalam bidang pendidikan memberi peluang kepada rakyat memilih citarasa bidang pendidikan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan penuh kepada sistem pendidikan yang diinginkan bagi memastikan kemajuan pelbagai bidang termasuk pendidikan negara.
"Sokongan ini membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap peluang pendidikan yang boleh dinikmati rakyat. Sokongan bukan saja kepada sekolah kebangsaan, tapi juga kepada sekolah jenis kebangsaan.
"Jarang ada negara lain di dunia yang menyediakan kemudahan pendidikan pelbagai aliran seperti di negara ini. Kita bukan saja sokong, tapi menjadi komitmen memastikan di bawah bumbung 1Malaysia ini, semua rakyat tanpa mengira bangsa dapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Fuzi Sh Ali.
Bangunan bernilai RM2.9 juta adalah hasil peruntukan yang dilulus kerajaan bagi memberikan keselesaan kepada pelajar sekolah berkenaan.
Pada majlis sama, Najib mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM300,000 untuk pembinaan bangunan prasekolah di sekolah itu.
Pada hari terakhir kempen, Najib meluangkan masa sehari suntuk bersama pengundi di Pahang.