PM: Hidup mati politik saya di Pekan
Wan Syamsul Amly
Mei 4, 2013 20:19 MYT
Mei 4, 2013 20:19 MYT
''Saya mula karier politik di Pekan,akan berakhir di Pekan dan selamanya di Pekan.''
Itu kata Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak yang membandingkan kesetiaannya kepada pengundi di Pekan dengan sikap pemimpin parti pembangkang.
Ujarnya, perpindahan lokasi pemimpin pembangkang selepas satu penggal menjadi wakil rakyat membuktikan mereka tidak ikhlas kepada pengundi di kawasan masing-masing.
''Saya tidak akan lari dari Pekan.Saya bukan macam pemimpin pembangkang, bukan macam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang malam-malam lari ke kawasan Pelabuhan Klang pula,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis himpunan bersama pengundi muda di Pekan.
Najib turut memberi amanah kepada calon Dewan Undangan (ADUN) di bawah Parlimen Pekan untuk menjaga kawasannya kerana masanya agak terhad dengan tugas Perdana Menteri.
''Saya ada calon ADUN terbaik yang boleh menjaga Pekan. Saya tahu di sini politik saya namun tugas Perdana Menteri membataskan masa yang banyak di sini,'' jelasnya.
Kira-kira 10 ribu pengundi hadir pada majlis tersebut.
Najib turut memberitahu, sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan akan ditawar kepada golongan muda menjelang tahun 2020.
''Saya sudah maklum sebelum ini pun, golongan muda dijanjikan peluang pekerjaan sehingga 3.3 juta tempat dalam masa tujuh tahun lagi,'' ujarnya.
Karier politik Najib bermula ketika berusia 23 tahun dengan menang tanpa bertanding di kerusi Pekan selepas kematian bapanya,Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976.
Najib kemudian menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978 ketika usianya 25 tahun.
Pada tahun 1982 sehingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar Pahang sekaligus paling muda ketika berusia 29 tahun.