'Perang manifesto' menjelang PRU-13
Teoh El Sen
April 8, 2013 16:12 MYT
April 8, 2013 16:12 MYT
'Perang manifesto' Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) telah bermula dengan pelancaran 'Akujanji' Barisan Nasional (BN) pada Sabtu untuk membalas versi Pakatan Rakyat (PR) yang diumumkan dua bulan lalu.
Penganalisis berkata mereka percaya bahawa pengundi akan memberi perhatian yang lebih terhadap kedua-dua dokumen penting ini terutama sebagai rujukan untuk membuat keputusan nanti.
Pada masa yang sama, penganalisis berkata walaupun kedua-dua manifesto banyak mengandungi janj-janji yang dianggap populis, terdapat juga isu-isu tertentu yang tidak disentuh kedua-dua pihak..
Khoo Kay Peng, seorang penganalisis politik, berkata isu berkaitan perkhidmatan awam yang memerlukan penambahbaikan telah diabaikan oleh kedua-dua pihak.
"Misalnya masa depan 1.4 juta penjawat awam, budaya kerja mereka dan penyusunan semula tugasan yang bertindih, ini tidak disentuh"kata Khoo.
Mengenai isu pembaharuan atau pemansuhan tindakan afirmatif, Khoo berkata, walaupun Pakatan Rakyat banyak bercakap mengenainya, pakatan pembangkang tidak memasukkannya dalam manifesto mereka.
"Mereka telah bercakap tentang menghapuskan Dasar Ekonomi Baru, ia tidak disenaraikan apabila kita melihat manifesto mereka," kata beliau.
Khoo juga berkata bahawa kebimbangan terbesar beliau ialah apabila kedua-dua pihak ini menghadapi PRU-13 hanya berbekalkan dasar-dasar populis semata-mata.
"Ini termasuk perkara seperti Pakatan berjanji memberi wang kepada ibu tunggal, membatalkan PTPTN, pembayaran BR1M oleh BN dan kedua-dua parti bercakap tentang menurunkan harga kereta. Ini adalah perkara-perkara yang akan menyumbang kepada beban ekonomi negara, "katanya.
Khoo juga mengkritik cadangan Pakatan untuk menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi sehingga RM1, 100 tetapi pada masa yang sama berhasrat mengumpul RM2 bilion dari wang pembayar cukai yang lain, serta rancangan mereka untuk menurunkan harga petrol.
"Sedang kita cuba untuk menyelesaikan masalah belanjawan negara dengan pembaharuan kewangan, perkara-perkara seperti ini akan membuat ianya lebih sukar untuk dicapai," katanya.
Walaupun wujud kelemahan, Khoo menyimpulkan bahawa manifesto pilihan raya BN akan lebih diterima kerana terdapat "beberapa perkara yang sangat menarik."
"Sudah tentu, BN mempunyai kelebihan sebagai penyandang. Semua sumber berada di hujung jari mereka," katanya.
Bagaimanapun, Khoo berkata, janji-janji kedua-dua pihak itu hanya meliputi kira-kira 30% dari bahan berkempen.
Sementara itu, penganalisis dari Merdeka Centre, Ibrahim Suffian juga bersetuju bahawa kedua-dua manifesto lebih populis, dan menyenaraikan beberapa aspek dimana satu atau beberapa perkara lain yang tidak dibincangkan dengan teliti.
"Apa yang ketara dalam manifesto BN adalah bayaran tunai langsung seperti BR1M dan baucar buku. Ini jelas menggariskan strategi BN untuk menangani peningkatan kos sara hidup," katanya.
"Saya rasa BN banyak menyentuh isu-isu dan perkara yang menjadi kebimbangan rakyat. Walau bagaimanapun, saya fikir terdapat beberapa aspek lain yang tidak digariskan dengan lebih mendalam, terutamanya mengenai tadbir urus yang baik." katanya
"Apa yang boleh kita lihat juga, ialah manifesto BN lebih terperinci dan menggariskan bagaimana BN bercadang untuk memperbaiki apa yang sudah ada."
Ibrahim berkata: "Kedua-dua manifesto ini adalah sesuatu yang diambil kira pengundi tetapi mungkin tidak benar-benar mempengaruhi mereka seratus peratus. Terdapat juga faktor-faktor lain seperti pilihan parti politik dan juga senarai calon yang akan menjadi penentu undi.