Penyokong parti diingatkan tidak berbuat khianat

Astro Awani
April 7, 2013 07:15 MYT
Polis Kedah mengingatkan penyokong semua parti supaya tidak melakukan perbuatan khianat yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-13.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, mereka perlu mengelak daripada melakukan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya demi memastikan kelancaran pengundian.
Ahmad juga berharap tiada penyokong yang akan membuat provokasi sehingga boleh mencetuskan pergaduhan.
Tambahnya polis telah menyenaraikan lokasi panas dan tumpuan lebih akan diberikan di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan awam.
Pihaknya juga akan bekerjasama dengan Polis Simpanan, Polis Bantuan, Jabatan Rela dan Jabatan Pertahanan Awam bagi membantu polis negeri.
Persiapan secukupnya sudah dibuat membabitkan pembahagian tugas anggota kepada empat fasa semasa hari pembubaran, penamaan calon, tempat berkempen dan pembuangan undi.
#Datuk Ahmad Ibrahim #Kedah #ketegangan #khianat #penyokong #polis #PRU-13
;