Pendedahan video cubaan aibkan Taib Mahmud

Astro Awani
Mac 21, 2013 08:30 MYT
Pemimpin kanan politik Sarawak, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pendedahan rakaman sulit video oleh aktivis antarabangsa, Global Witness sebagai satu cubaan untuk mengaibkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Katanya, tindakan itu tidak beretika dan tidak bertamadun.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat menegaskan, ia satu percubaan anasir asing untuk mencampuri urusan dalaman negara ini yang seterusnya boleh menimbulkan masalah yang serius apabila kestabilan yang sedia ada tergugat.
"Ia adalah satu tindakan yang underhanded (tidak jujur), yang tidak bertamadun. Saya fikir politik yang sedemikian rupa sepatutnya tidak dibawa ke Sarawak ini. Sudah cukuplah kita mendengar cerita-cerita begini di Semenanjung," katanya kepada Astro Awani.
Beliau diminta mengulas pendedahan rakaman tersebut di laman web Global Witness dan tersebar di media sosial dengan pantasnya sejak Selasa.
Jelas Wan Junaidi, kumpulan aktivis itu tidak sepatutnya mencampuri urusan politik di negara lain termasuk cuba menjatuhkan pemimpin.
"Kita tidak pernah terlibat dengan politik asing. Kita tidak pernah mengganggu mana-mana negara asing dalam politik dalaman mereka. Jadi kenapa pula mereka gunakan ini sebagai isu?
Ini soal politik dalaman. Kita tidak mengizinkan orang luar terlibat dalam politik kita," katanya.
Tambah beliau, apa yang dilakukan oleh Global Witness itu sehingga sanggup menyamar sebagai pelabur asing dan merakamkan perbualan dengan beberapa individu yang mendakwa dekat dengan Taib jelas menunjukkan cubaan pihak asing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berharap apa yang dilakukan oleh kumpulan itu tidak akan menjejaskan politik negeri Sarawak yang tenang dan terkawal.
Global Witness ialah kumpulan aktivis yang berpangkalan di London menggerakkan kempen anti penyelewengan termasuk menyiasat kegiatan penyelewengan di serata dunia khususnya yang melihatkan penjarahan alam sekitar dan sumber asli.
Rakaman sulit tersebut memaparkan perbualan seorang lelaki Eropah yang menyamar sebagai pelabur dengan sepupu Taib, Norlia dan Fatimah Abdul Rahman serta dua orang peguam.
Norlia dan Fatimah ialah anak kepada bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Yaakob yang juga bapa saudara kepada Taib.
Taib dan Abdul Rahman mempunyai sejarah hubungan yang renggang ekoran krisis politik negeri pada akhir 1980-an yang dikenali sebagai Peristiwa Ming Court.
#global witness #Sarawak #Tan Sri Abdul Taib Mahmud
;