Pembangkang bertelingkah, bonus bagi BN

Nabihah Hamid
April 13, 2013 14:56 MYT
Pertelingkahan pembangkang mengenai siapa calon di 15 kawasan Parlimen seluruh negara akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional(BN) pada pilihan raya umum ke-13(PRU13).
Pengerusi Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata tiada kesepakatan dalam menentukan calon akan menyebabkan pertelingkahan itu sekaligus memberi peluang pada BN untuk merampas kerusi tersebut.
"Ada beberapa sebab kita akan dapat lebih dari 160 kerusi, ini kerana beberapa kerusi antaranya 11 kawasan Parlimen di semenanjung, masalah tidak selesai antara mereka, empat kerusi di Sarawak mereka(pembangkang) juga bertelagah. Saya harap mereka terus bertelagah,"
"Ini merupakan bonus kepada BN," Kata Ahmad Maslan pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Sementara itu Ahmad Maslan, turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa Manifesto BN meniru manifesto mereka.
Ini kerana katanya BN telah pun melaksanakannya dan bukan hanya memberi janji kosong seperti pembangkang.
#Ahmad Maslan #BN #elections #pakatan #PRU13
;