Parodi parti gamatkan PRU-13

Teoh El Sen
April 25, 2013 18:55 MYT
Letih dengan ketegangan politik dan riuh-rendah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), beberapa pengguna media sosial mengambil keputusan untuk menyuntik sedikit keseronokan dan jenaka pada waktu ini.
'Parti Kitty', 'Parti Unicorn', dan 'Parti Carebear' merupakan tiga parti politik rekaan di laman sosial Facebook yang semakin menarik perhatian dan penyokong alam maya atas talian.
Astro Awani mengambil sedikit masa untuk bersembang dengan presiden ketiga-tiga parti ini dan mendapati mereka menganjurkan politik yang lebih aman dan kurang agresif.
"Nama saya DW, saya seorang perempuan. Kenapa nak temubual saya? Saya dah buat sesuatu yang buruk?" tanya pengasas Parti Kitty (PK).
DW, 27, menguruskan perniagaanya dalam bidang minyak dan gas yang kemudiannya memberitahu dia memulakan laman berkenaan sewaktu hari penamaan calon selepas dia dan rakan sedar kekacauan situasi politik tanah air.
"Mana-mana anda pergi anda dapat melihat bendera terpacak sana-sini, kempen berbentuk digital dan analog. Saya percaya rakyat Malaysia mengalami tekanan disebabkan politik, tidak kira bagaimana mereka cuba lari daripadanya."
Dia gembira kerana projeknya itu berkembang dengan pantas dan ramai yang mula mengundi PK kini. "Saya gembira dapat mengurangkan tekanan dan ramai turut merasainya.
"Perkembangannya memberangsangkan! Saya tak menjangkakan akan sampai ke tahap ini pada permulaanya. Siapa tahu politik boleh menjadi perkara yang melucukan?"
DW berharap seperti rakyat Malaysia lain agar negara ini terus maju, membangun dan dapat bersatu supaya ramai yang mendapat faedahnya tanpa menyalahkan satu sama lain.
Rakannya 'presiden' Parti Unicorn, Sheera, 26, bekerja sebagai eksekutif pembangunan perniagaan. Sheera turut berharap Malaysia selalu aman dan politik mampu menyatukan berbanding memecahkan.
"Sebenarnya laman ini hanya untuk suka-suka kerana suapan berita Facebook saya dipenuhi dengan perbualan mengenai Barisan Nasional, PKR dan parti lain. Saya agak tertekan sebab itulah saya tampil dengan cara ini."
Sewaktu Astro Awani cuba mendapat maklumbalas daripada Parti Carebear, ini jawapannya:
"Tidak, awak tak boleh bercakap dengan saya. Saya bawah umur. Saya seeokor beruang yang pemalu."
"Kewujudan kami untuk menstabilkan keadaan. Kita tidak boleh membiarkan Parti Kitty memerintah sendiri. Sejarah telah membuktikan jika anda sahaja yang memerintah, anda akan melakukan penyelewengan."
#media sosial #Parodi parti #parti carebear #Parti Kitti #parti unicorn #PRU-13
;