Pakatan Rakyat Selangor bincang isu pertindihan

Ashwad Ismail
April 22, 2013 16:19 MYT
Pakatan Rakyat Selangor menyerahkan kepada kepimpinan pusat untuk menyelesaikan isu pertembungan calon-calon antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP di negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Rakyat Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat dan keputusan mengenai kedudukan kerusi yang terlibat akan dibuat selewat-lewatnya esok.
"Pimpinan PR akan buat keputusan secara bersama. Pengumuman akan dilakukan sama ada hari ini atau esok," kata Khalid dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Pakatan Rakyat secara keseluruhannya bertembung sesama sendiri di 29 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Teratai, Kota Alam Shah, Pandamaran dan Semenyih di Selangor.
PKR juga bertembung dengan Pas di kerusi DUN Kota Damansara yang menyaksikan persaingan enam penjuru.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya hari ini berkata, Pas akan mengirimkan wakil berjumpa dengan PKR untuk menentukan penyelesaian pertindihan calon Pakatan Rakyat di kerusi tersebut.
Di Kota Damansara, Pas menampikan calonnya Ridzuan Ismail sementara calon Parti Sosialis Malaysia, Dr. Nasir Hashim bertanding menggunakan simbol PKR.
Dalam pada itu, Khalid bagaimanapun tidak melihat pertembungan kerusi ini sebagai tanda wujudnya percanggahan antara Pas dan PKR.
"Kalau tanya saya, bagi saya, tiada percanggahan antara PAS dan PKR walau prinsip kami tidak selari," ujar beliau.
Pas dan PKR pada Isnin mengumumkan isu pertindihan calon di enam kerusi selesai.
Pas mengumumkan menyokong calon PKR di tiga kerusi iaitu di Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh di Pulau Pinang dan DUN Panti di Johor manakala PKR mengumumkan menyokong calon Pas di 3 kerusi DUN di Terengganu iaitu Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyifatkan pakatan pembangkang itu telah runtuh sebelum ia menyertai kempen pilihan raya kerana gagal mencapai kata sepakat mengenai pemilihan calon dan bertanding sesama sendiri.
Kata beliau, kalau untuk bertanding kerusi pilihan raya pun gagal berpakat, apa lagi "untuk berpakat mengendalikan pemerintahan negara."
#calon #DAP #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #PRU-13 #PRU13
;